KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan tiada keperluan untuk memindahkan masyarakat Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang ke kawasan lain sementara waktu sehingga ancaman harimau belang reda.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima laporan masyarakat itu kini hidup dalam ketakutan sejak sebulan lalu dan tidak dapat keluar rumah mencari rezeki atau melakukan urusan harian lain.
Bagaimanapun, katanya, beliau yakin usaha dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memburu haiwan buas tersebut dapat menyelesaikan masalah itu dalam tempoh masa terdekat.
“Kita tahu penempatan asal Orang Asli adalah di dalam hutan dan kalau kita nak pindahkan mereka pun, kalau mengikut pengalaman sebelum ini, memang mereka tidak mahu pindah. Sebaliknya mereka mahu kekal di kampung mereka.
“Setakat ini, Orang Asli di kawasan berkenaan telah memberi kerjasama baik termasuk akur pada nasihat supaya tidak keluar rumah dahulu buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan keluhan masyarakat Orang Asli di Pos Bihai yang mendakwa sudah sebulan hidup dalam ketakutan, selain terpaksa berkurung dalam rumah kerana harimau belang yang berkeliaran di kampung mereka masih belum ditangkap.
Mengulas lanjut Mohd. Amar berkata, kebajikan masyarakat Orang Asli di kawasan terjejas tidak diabaikan apabila pelbagai pihak tampil memberi sumbangan makanan kepada mereka dari semasa ke semasa.
Katanya, setakat ini harimau itu dilaporkan tidak lagi keluar ke kawasan perkampungan Orang Asli di situ.
Ditanya dakwaan bahawa aktiviti pembalakan berleluasa adalah punca yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Mohd. Amar berkata, tanggapan itu tidak betul.
“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan. Kita ada baca kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang menyebut harimau masuk kampung sebab kena penyakit.
“Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa. Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul. Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak. Benda itu bukan begitu,” katanya. -UTUSAN ONLINE