Ambil video, gambar tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan - Utusan Malaysia

Ambil video, gambar tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan

Mengambil gambar tanpa kebenaran dan dimasukkan ke dalam media sosial berisiko dikena tindakan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Budaya mengambil gambar dan video individu terutama ketika berlaku sesuatu insiden sudah menjadi lumrah sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, tindakan tersebut tanpa sedar sebenarnya melanggar hak privasi seseorang terutama sekiranya gambar atau video tersebut dimuat naik di media sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Arham Rahimi Hariri berkata, sehubungan itu penggubalan undang-undang tersebut menjadi satu keperluan agar jelas dan tidak berlaku percanggahan sekiranya dibawa ke muka pengadilan.

Malah katanya, penggubalan akta tersebut dapat mengekang sebarang unsur perbuatan untuk memalukan mana-mana individu, lebih-lebih lagi trend penularan video dan gambar pada masa kini.

“Di negara ini kita bergantung kepada mahkamah yang mengikut beberapa contoh kes termasuk di luar negara. Ada juga mahkamah mengatakan pelanggaran privasi ini sesuatu yang tidak boleh disaman.

“Sebab itu kita perlu ada akta khusus berkenaan pencerobohan privasi ini. Kalau ada ia jelas dan mendidik masyarakat dari awal lagi. Undang-undang yang ada sekarang adalah apabila sesuatu perkara itu berlaku dahulu, kemudian mahkamah akan lihat berdasarkan common law. Tetapi ada percanggahan pula dalam kalangan hakim,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, tular video di media sosial seorang remaja yang dimandikan seperti jenazah selepas didapati cuba mencuri tabung masjid dan menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat tentang kewajaran ia disebarkan.

Sementara itu, peguam Prof. Datuk Salleh Buang berkata, seseorang yang bertindak mengambil gambar tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sebagai contoh sekiranya saya bertengkar dengan seseorang dan saya membuat rakaman vide individu berkenaan, ia sebenarnya sudah ada unsur pencerobohan peribadi. Begitu juga bagi jurufoto yang mengambil gambar pesalah di mahkamah. Ia sudah ada ada unsur pencerobohan privasi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×