PETALING JAYA : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan bersama dua jaguh badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan itu yang berlangsung di Perdana Putra, Putrajaya hari ini merupakan perbincangan bermanfaat dan persoalan berbangkit selama ini telah selesai.
“Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia, dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Pada Jumaat lalu, BAM mengumumkan untuk tidak akan mendaftarkan nama Zii Jia dalam sebarang kejohanan selama dua tahun gara-gara tindakannya mahu meninggalkan badan badminton itu untuk bergerak secara profesional.
Selain Zii Jia, turut dikenakan ‘halangan’ adalah bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei.
Sebaliknya kemelut Zii Jia bakal berakhir lebih awal daripada yang dijangkakan selepas jaguh perseorangan negara itu mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Mohamad Norza pada baru-baru ini. -UTUSAN ONLINE