4,000 peminjam LPPSA dapat moratorium - Utusan Malaysia

4,000 peminjam LPPSA dapat moratorium

REEZAL MERICAN Naina Merican pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seramai 4,000 pembeli rumah mampu milik menerusi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang berdepan dengan isu ‘rumah sakit’ dijangka diberikan kemudahan moratorium selama enam bulan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penangguhan bayaran semula itu membabitkan kelewatan pembinaan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA).

Katanya, pihaknya telah menyenaraikan sebanyak 4,000 nama pembeli rumah PPAM serta PR1MA menerusi LPPSA yang mengalami kelewatan pembinaan rumah untuk dipertimbangkan Kementerian Kewangan bagi kemudahan moratorium.

“Tempoh pembinaan, kalau rumah teres 24 bulan, strata selalunya 36 bulan sehingga 60 bulan mengikut skala magnitud pembinaanya tetapi kalau LPPSA siap atau tidak dia akan caj, ada kalangan pembeli yang guna LPPSA untuk duduk rumah PR1MA. 

“Jadi, saya telah hantar nama-nama pembeli di bawah LPPSA ini kepada Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, minta supaya diberikan moratorium kerana ini bukan pilihan mereka sebaliknya berlaku kerana projek lewat siap, bank lain semua telah meluluskannya, LPPSA sahaja belum,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Pulau Sebang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini terdapat 22 projek sakit di Semenanjung dan Sabah yang mengalami kelewatan.

“Sebanyak 18 projek yang dikategorikan sebagai projek sakit membabitkan pembinaan di Semenanjung, manakala tiga lagi di Sabah. 

“Satu lagi projek adalah projek lewat di Semenanjung dan antara sebab projek sakit ini berlaku adalah kerana tempoh down time selama 276 hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana kontraktor tidak dapat masuk ke tapak pembinaan,” katanya. 

Katanya, susulan itu kementeriannya juga telah mengambil tindakan membatalkan perkhidmatan kontraktor yang menyebabkan kelewatan dan melantik kontraktor penyelamat terdiri daripada syarikat tempatan bagi memudahkan urusan pembinaan.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.