PETALING JAYA: Rakyat boleh menilai sendiri dengan teliti pencapaian setiap kementerian dalam Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung sejak Khamis lalu sehingga hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Memahami rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat mengambil peluang untuk melihat pencapaian setiap kementerian dan terlibat dalam program yang disediakan.
“Pada 24 September lalu, saya telah memuktamadkan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50 peratus), Penilaian Prestasi Menteri (25 peratus) dan Persepsi Awam (25 peratus) terhadap menteri dan kementerian.
“Saya tidak dapat menyebut aspirasi 100 hari kesemua kementerian satu persatu, namun, rakyat boleh meneliti pencapaian mereka melalui program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung pada 9 sehingga 12 Disember.

“Ambillah peluang ini untuk melihat sendiri program yang disediakan, termasuk bantuan aspirasi kerajaan, pameran peluang kerjaya, kaunter perkhidmatan kerajaan dan banyak lagi program yang dibentuk khusus untuk Keluarga Malaysia.
“Keluarga kita ialah tanggungjawab bersama. Kita tetap bermuafakat dalam apa jua keadaan, kerana aspirasi dan matlamat kita ialah inspirasi kita bersama, ibarat kata pujangga ‘banyak perkara boleh mengubah kita tetapi kita bermula dan berakhir dengan institusi keluarga’,” katanya semalam. – UTUSAN