[SIDANG DUN PERAK] Cari jalan mudahkan anak muda dapat pembiayaan perniagaan - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN PERAK] Cari jalan mudahkan anak muda dapat pembiayaan perniagaan

AHMAD Saidi Mohamad Daud pada sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak akan mencari kaedah terbaik bagi membolehkan anak muda yang menceburi bidang perniagaan dan pertanian memperoleh pembiayaan tanpa syarat terlalu ketat, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memahami masalah dihadapi oleh golongan muda untuk mendapatkan pembiayaan khususnya bagi memulakan perniagaan dan mengusahakan bidang pertanian.

“Justeru, misi utama Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) tahun depan ialah untuk memastikan syarat-syarat mendapatkan pembiayaan bagi bidang pertanian dan perniagaan dipermudahkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Zaidi Aziz (BN-Slim) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Ahmad Saidi menjelaskan rintihan anak muda itu sebenarnya sering dibincangkan di peringkat kerajaan negeri dengan keutamaan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan itu dalam mencari pekerjaan dan keusahawanan.

Justeru, jelasnya, syarat ketat diberikan dalam mengeluarkan pembiayaan adalah perkara yang perlu diperhalusi semula agar peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk anak muda dibuka seluas mungkin.

Beliau bagaimanapun memberitahu, ia memerlukan hubungan baik antara portfolio dan antara kerajaan agar hasrat itu dapat direalisasikan.

Menjawab soalan lisan A. Sivanesan (PH – Sungkai), Ahmad Saidi menjelaskan, seramai 3,643 rakyat Perak kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dalam tempoh 1 Mac tahun lalu sehingga 30 November tahun ini.

Beliau berkata, bilangan itu diperolehi daripada data mereka yang berdaftar dengan Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri dalam tempoh tersebut.

“Mereka kehilangan pekerjaan akibat penutupan sektor perkilangan, perkhidmatan dan perhotelan akibat pandemik tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN