PENDANG: Kementerian Pendidikan (PPM) tetap melaksanakan sesi persekolahan secara bersemuka seperti biasa sehingga cuti penggal yang dijadualkan hujung minggu ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelaksanaan sesi persekolahan itu melibatkan kesemua negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, penutupan sekolah tersebut dalam tempoh tersebut hanya dibuat berdasarkan saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan penilaian risiko kes Covid-19.
Pada masa ini, katanya, kes aktif Covid-19 membabitkan pelajar lebih 200 sahaja berbanding jumlah pelajar yang hadir ke sekolah seramai kira-kira 4.5 juta orang.
“Jumlah itu (pelajar positif Covid-19) adalah jauh lebih rendah berbanding dengan keseluruhan pelajar, jadi, kita perlu lihat dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik ini akan berlaku.
“Tapi, kita akan kawal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak virus ini merebak, insya-Allah, sesi persekolahan akan berterusan hingga ke akhir penggal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim merangkap Ahli Parlimen Pendang.
Dalam pada itu, Radzi menambah, sesi persekolahan secara bersemuka sangat penting dalam usaha meminimumkan masalah murid dan pelajar tercicir dalam pelajaran dengan intervensi dapat dibuat lebih awal setelah dapat mengesan maasalah penularan Covid-19 di sekolah.
“Dalam konteks sekarang ini, bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walaupun PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) dilaksanakan, namun, perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan.
“Walaupun ramai kata sekolah jangan dibuka dulu tetapi kita telah berbincang bahawa amat penting sekolah dibuka dan lihat apa pilihan terbaik perlu dilaksanakan supaya murid dan pelajar rapat dengan sistem persekolahan,” katanya.
Semalam, Radzi memberitahu, jumlah kluster institusi pendidikan di seluruh negara kini melibatkan sebanyak 21 buah sekolah.
Menurut beliau, jumlah pelajar sekolah rendah dan menengah yang positif Covid-19 adalah seramai 287 orang manakala 179 lagi merupakan murid tadika swasta yang berdaftar di bawah kementerian. -UTUSAN ONLINE