KUCHING: Sentimen politik di Sarawak dilihat mirip Semenanjung apabila ada parti politik kelihatan `mahu cepat menjadi kerajaan’ sehingga mengakibatkan hala tuju satu-satu pakatan atau gabungan untuk mengalahkan seteru politik terkubur.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) 18 Disember ini, DAP yang merupakan tonggak Pakatan Harapan (PH) kelihatan kebingungan dengan gelagat satu lagi pakatan politik, Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang enggan bertindak sebagai `pembangkang yang kuat’.
Padahal PSB yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh dengan lantang menegaskan mahu mengalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Meluahkan kebimbangan itu kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chien Jen berkata, beliau percaya jika PSB menang beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), calon-calon mereka akan memihak kepada GPS, seterusnya menyertai kerajaan negeri pimpinan Abang Johari.
Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri memberitahu, rundingan bersama PSB untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang kuat sebelum ini pun gagal kerana kedua-dua parti mahu bertanding di kawasan yang sama.
Beliau bimbang kegagalan itu akan hanya menyebabkan undi pembangkang berpecah.
“Kami sudah berunding sehabis baik dengan mereka tentang agihan kerusi tetapi tidak berjaya kerana mereka mahu bertanding di kawasan-kawasan yang sedia ada milik DAP.
“Saya khuatir, seperti yang disebutkan Soon Koh sebelum ini bahawa mereka hanya mahu menjadi kerajaan negeri yang baharu dan bukan sebagai pembangkang yang kuat. Jadi, boleh tahan lamakah mereka kalau hanya menang beberapa kerusi dan terus menjadi pembangkang?
“Saya beranggapan PSB tiada keinginan mahu menjadi pembangkang dan ini yang mengecewakan kami kerana kedua-dua pihak akan berlawan sesama sendiri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat DAP, di sini semalam.
Di Semenanjung, sentimen `beralih arah’ dilihat jelas pada beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang membawa haluan sendiri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.
Gerakan yang sebelum itu menganggotai Barisan Nasional (BN) tetapi kalah teruk dalam PRU14, kemudian menyertai PN.
Beberapa wakil rakyat UMNO juga lompat parti ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana melihat BN-UMNO sudah tiada masa depan.
Malah, Pas pula cenderung bersama PN selepas beberapa pemimpinnya menjadi dilantik menteri Kabinet, sedangkan sebelum itu mereka bersatu teguh bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
PRN Sarawak bakal menyaksikan empat pakatan politik iaitu GPS, PH, PSB dan Gabungan Anak Sarawak (Gasak) bakal berentap yang masing-masing dipercayai mempunyai kekuatan dan sasaran pengundi tersendiri.
DAP meletakkan 26 calon yang akan bertanding mewakili parti itu dengan 18 calon sudah diumumkan manakala enam lagi akan diumum kemudian atas dasar strategi parti.
Cakap-cakap mengenai kerjasama DAP-PSB bermula sejak awal bulan lalu, bagaimanapun, DAP Sarawak tidak melihat usaha itu dipenuhi kerana tindak tanduk PSB didakwa mencurigakan dan dikhuatiri berpaling tadah kepada GPS.
Sementara itu, calon ADUN Batu Kawah, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, sebagai pembangkang, mereka memerlukan struktur yang kuat dan berfungsi mahu memastikan Sarawak ditadbir secara baik dan mempunyai semak dan imbang.
“Kami bimbang GPS melakukan apa sahaja untuk menang dan agenda mereka untuk `menghapuskan’ semua pembangkang di negeri ini, bukan sahaja PH malah parti-parti lain.
“Kita tidak mahu Sarawak kembali ke zaman BN yang mengawal semua kerusi, tiada pembangkang langsung dan melakukan apa sahaja tanpa pengawasan rapi, sekali gus menyebabkan Sarawak terus tertinggal dalam aspek pembangunan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










