KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai peluang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijadualkan berlangsung 18 Disember ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, keyakinan itu bagaimanapun tetap bergantung kepada pengundi Sarawak untuk membuat keputusan dalam pilihan raya itu nanti.
Bagaimanapun katanya, beliau tetap optimis GPS memenangi pilihan raya itu berdasarkan kepada keprihatinan gabungan itu kepada rakyat Sarawak.
“GPS prihatin dalam menjaga rakyat Sarawak, tetapi semua ini tertakluk kepada rakyat atau anak Sarawak membuat keputusan, apa-apa pun kita memang yakin bahawa GPS akan menang dalam PRN Sarawak,” katanya ketika ditemui di Persidangan Perwakilan Nasional Ke-50, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang dirasmikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak demi memberi laluan penuh kepada parti komponen mereka, GPS.
Ini kerana, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) adalah parti yang mesra dengan PN sejak hari pertama PN mengambil alih kerajaan.
GPS sebelum ini memutuskan untuk bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan menampilkan 24 orang muka baharu sebagai calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri itu.
Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, Gerakan juga akan membantu memberikan sokongan kepada GPS dalam menghadapi pilihan raya negeri itu.
“Di Sarawak kebanyakannya maklumat atau situasi kurang jelas, meski politik Sarawak itu jelas tetapi politik Semenanjung mereka kurang jelas seperti isu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mereka mungkin tahu tetapi tak jelas.
“Oleh itu, kita akan gunakan kekuatan dari maklumat yang kita ada pada masa ini dengan menghulurkan ke Sarawak, jadi jika mereka mahu menggunakan itu untuk kempen, maka kita akan berikan maklumat yang jelas dan betul melalui atas talian,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










