KUALA LUMPUR, 9 Disember 2021 – Petronas Gas Berhad (PGB) meluluskan keputusan pelaburan akhir (FID) bagi pembinaan stesen pemampat gas baharu di Kluang, Johor dengan anggaran kos RM460 juta.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman berkata, tambahan kapasiti daripada projek ini bertujuan untuk merangsang pertumbuhan permintaan gas di wilayah selatan Malaysia.
Ujarnya, ia termasuk pertumbuhan permintaan daripada pelbagai industri dan menyediakan keselamatan bekalan kepada pengguna gas sedia ada di rantau ini sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.
“Projek ini akan diusahakan oleh perniagaan pengangkutan gas PGB sebagai pengembangan kepada kemudahan tersebut dalam rangkaian Penggunaan Gas Semenanjung (PGU).
“Kerja-kerja akan dimulakan serta-merta dan dianggarkan akan lengkap pada suku pertama 2024,” katanya dalam kenyataan, semalam.
PGB akan terus memajukan pertumbuhan perniagaannya terutamanya selepas projek FID ini tercapai. – UTUSAN