PGA gagalkan cubaan seludup tiga tan metrik daun ketum - Utusan Malaysia

PGA gagalkan cubaan seludup tiga tan metrik daun ketum

AYOB Ismail (tengah) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di Bukit Kayu Hitam hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih tiga tan metrik daun ketum bernilai RM96,000 ke negara jiran dengan menggunakan jalan laut di Jalan Kuala Kedah, di sini semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta, Deputi Superintenden Ayob Ismail berkata, pasukan risik Kompeni D Batalion 1,  PGA Hulu Kinta, Perak terserempak dengan lori yang dipandu lelaki berusia 30-an itu dalam keadaan mencurigakan pada pukul 11.45 malam.

Beliau berkata, pasukan risik kemudian mengarahkan pemandu lori yang berasal dari Kubang Rotan, Alor Setar dekat sini memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan lori itu menemukan sejumlah 320 bungkusan beg plastik hitam yang mengandungi daun disyaki daun ketum,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, anggota risik kemudian menahan pemandu terbabit dan merampas kesemua bungkusan berisi daun ketum itu sebelum  dibawa ke pejabat PGA Bukit Kayu Hitam di sini untuk tindakan lanjut.

“Kami percaya daun ketum ini dibawa menggunakan lori dari daerah Padang Terap menuju ke Kuala Kedah untuk menggunakan laluan laut bagi tujuan menyeludup ke negara jiran.

“Modus operandi mereka gunakan juga sudah berubah kerana sebelum ini mereka menggunakan motosikal atau kereta tetapi sekarang menggunakan kenderaan perdagangan iaitu lori untuk menyeludup daun ketum,” katanya.

Tambahnya,  kawalan yang ketat di pagar sempadan menyebabkan pelbagai alternatif dilakukan untuk menyeludup daun ketum untuk memenuhi permintaan di negara jiran itu.

Beliau berkata, nilai dirampas daun ketum dan lori tersebut  dianggarkan bernilai sebanyak RM146,000.

“Rampasan tersebut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN