Pengaruh Najib masih ditagih UMNO dalam PRU-15 - Utusan Malaysia

Pengaruh Najib masih ditagih UMNO dalam PRU-15

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Khidmat serta pengaruh Datuk Seri Najib Tun Razak masih ditagih UMNO bagi membantu parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu, Rabu lalu.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, walaupun bekas Presiden UMNO itu sudah tidak boleh bertanding, namun masih berharap figura itu terus memberi sokongan kepada parti.  

Beliau berkata, pengaruh serta populariti bekas Perdana Menteri itu dilihat mampu menjadi antara watak penting kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-15. 

“Secara efektifnya, Najib tidak dapat lagi bertanding pada PRU-15 berikutan keputusan Mahkamah Rayuan. Namun, saya masih berharap beliau akan terus membantu parti dari belakang bagi menghadapi PRU.

“Najib masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan rakyat dan beliau masih merupakan aset parti. UMNO pun sayangkannya dan seharusnya beliau terus diberi peranan untuk berkhidmat dan membantu parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan surat tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perling kepada penduduk Kampung Sungai Pinang, Perling, di sini hari ini.

Ditanya sama ada langkah parti mahu mengekalkan Najib itu akan memakan diri dan menjejaskan imej parti, Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai mempunyai perspektif berbeza terhadap tanggapan itu. 

“Ada banyak pihak menyatakan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai perbicaraan berbaur politik dan enggan menerima keputusan yang dibuat mahkamah.

“Keputusan mahkamah itu juga tidak bermakna rakyat akan tolak Najib kerana beliau masih aset kepada UMNO. Bagi saya tidak salah untuk menggunakan pengaruh Najib sebagai penguat dan penyokong parti,” ujarnya.

Dalam pada itu, projek pembangunan semula kawasan setinggan di Parlimen Pulai yang dibuat sejak 2004 hampir selesai dengan perpindahan penduduk Kampung Sungai Pinang ke PPR Perling dalam masa terdekat. 

Nur Jazlan berkata, projek itu bagi menyediakan penginapan yang lebih kondusif kepada penduduk dengan kadar sewa bulanan yang rendah selain menikmati taraf hidup lebih selesa di kawasan bandar raya.

“Pada 2008, projek pertama yang dilakukan iaitu PPR Kempas menyelesaikan masalah setinggan di kawasan itu, diikuti pembinaan PPR Melana bagi menyelesaikan permasalahan setinggan di Tampoi dan kini projek itu diperluaskan ke Perling.

“Bila PPR Perling ini siap dibina dan boleh diduduki, saya anggap projek pembangunan semula kawasan setinggan di Parlimen Pulai yang dimulakan sejak 2004 sampai ke penghujungnya,” katanya. 

Sebanyak 98 keluarga layak dipertimbang untuk mendapatkan rumah yang diusahakan kerajaan berikutan arahan pengosongan tapak oleh pemilik, Tanjung Bidara Ventures Sdn. Bhd. oleh Pegawai Daerah Johor Bahru.

Pejabat SUKJ Bahagian Perumahan bersetuju menyediakan 98 buah rumah di PPR Perling dengan bayaran deposit serta utiliti sejumlah RM1,500 dan sewaan bulanan RM250.

Malah, Tanjung Bidara Ventures turut bersetuju untuk memberi wang ihsan bernilai RM1,500 untuk bayaran deposit dan utiliti SUKJ Perumahan dan RM1,500 untuk kos perpindahan ke PPR selain kerajaan negeri mengecualikan sewa selama setahun. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN