IPOH: Pelajar yang terlibat dalam kejadian buli hingga sanggup memukul dan bertindak agresif kepada orang lain dilihat sebagai tanda mereka mengalami gangguan emosi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, emosi yang tidak stabil mengakibatkan tekanan sehingga mereka tergamak melepaskan kepada orang lain.
“Sebagai bekas guru, saya melihat pelajar-pelajar yang berada di asrama ini menjadikan buli sebagai cara untuk melepaskan perasaan.
“Jika dia tidak berpuas hati dengan sesiapa, mungkin ibu bapa mahupun cikgu atau dia tidak mahu masuk asrama tetapi dipaksa, maka dia melepaskan tekanan itu dengan cara memukul orang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Festival Seni Antarabangsa Ipoh (IIAF) 2021: Budi Pemanjangan Tradisi di Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) di sini hari ini.
Menurut Saarani, ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing khususnya bagi yang mempunyai anak di asrama dengan memahami perubahan sikap mereka.
Katanya, peranan sama juga perlu digalas oleh guru-guru dan warden jika melihat dan menyedari perubahan sikap dan tingkah laku pelajar.
“Pada saya, mereka yang sanggup memukul orang lain ini, dia ada sesuatu yang tidak kena, emosinya tidak stabil. Orang yang emosinya stabil, dia ada perasaan sayang, kasih, takut dan malu.
“Tetapi kalau dia sampai sanggup pukul orang, dia sudah tiada perasaan itu dan saya rasa keadaan ini bahaya dan perlu diberi perhatian,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan lapan pelajar tingkatan satu yang terlibat dalam kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar dipanggil polis bagi membantu siasatan.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah pemilik akaun media sosial yang menularkan rakaman kejadian itu.
Sehingga pagi tadi, enam daripada mereka telah ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi dirakam percakapan.
Terdahulu, video berdurasi 10 saat tular dalam media sosial yang memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain di dalam asrama.
Video tersebut tular di Twitter dan mendapat perhatian warganet dengan tontonan sebanyak 528 ribu serta lebih 30,000 perkongsian. – UTUSAN ONLINE