KUALA LUMPUR : Kementerian Kewangan (MOF) dan Digital Nasional Berhad (DNB) perlu memberi penjelasan berhubung pelaksanaan teknologi Generasi Kelima (5G) di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, persoalan utama yang perlu dijawab, mengapa DNB dan Ericsson diberi mandat untuk memonopoli penyediaan perkhidmatan 5G di Malaysia.
Jelasnya, beliau menerima aduan daripada beberapa pihak bahawa proses tender tidak telus dan berlaku penipuan.
“Saya ada dapat aduan daripada syarikat yang masuk tender 5G bahawa proses tender tidak telus, ada penipuan tender dan sebagainya.
“Kita hendak tahu kenapa Ericsson dan DNB memonopoli 5G? Kita hendak tahu apa pelan mitigasi dan pengurusan risiko. Jika syarikat Ericsson muflis, apa jadi pada projek ini?. Rakyat kena bertanggungjawab.
“Jadi, jangan kita berahsia kerana apabila menjawab di Parlimen, saya perlu bertanggungjawab kepada pembangkang dan rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Zahidi pada minggu lalu menjelaskan pelantikan DNB sebagai pelaksana tunggal 5G di Malaysia diputuskan Kementerian Kewangan (MOF) tanpa sebarang perbincangan dengan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KMM).
Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, pemilihan model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan 5G di Malaysia, sudah dibincangkan antara MOF dan KKMM di Kabinet sejak 2019.
Mengulas lanjut, timbalan menteri itu menggesa pihak berkaitan tampil memberi penjelasan kerana melibatkan peruntukan yang besar iaitu RM20 bilion.
“Rakyat juga bertanya kenapa Ericsson dipilih. Ini kerana dua pemimpin tertinggi DNB adalah daripada Maxis. Maxis pula kerap bekerjasama dengan Ericsson.
“Bila DNB buka tender, Ericsson juga yang dipilih. Proses tender dikatakan telus, tapi saya dapat aduan ia tidak telus. Perkara ini perlu penjelasan kerana membabitkan kos RM20 bilion, dan rakyat perlu mendapat perkhidmatan 5G ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE










