PUTRAJAYA: Kerajaan negeri terutama di negeri-negeri yang tidak pernah berlaku bencana banjir perlu mengambil iktibar situasi luar jangka yang ‘mengejutkan’ mereka baru-baru ini bagi mengatur langkah persediaan tertinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, negeri-negeri berkenaan tidak boleh lagi berasa selesa kerana pihaknya sudah menyalurkan segala mekanisme, latihan persediaan dan peruntukan kewangan.

Beliau berkata, negeri-negeri di Pantai Timur lebih bersedia berikutan musim hujan ketika ini, sebaliknya negeri Pantai Barat khususnya Selangor dilihat tidak bersedia terhadap kemungkinan bencana itu.
“Bukan pihak Nadma, ia adalah pihak kerajaan negeri. Banjir luar jangka memberi elemen kejutan kepada mereka. Nadma sudah bersedia kerana sudah tahu musim hujan sekarang ini.
“Kami sudah memberikan latihan sewajarnya kepada pegawai daerah bagaimana hadapi banjir sebab mereka pengerusi bencana daerah yang menyelaras semua mekanisme dan semua jentera,” katanya di sini semalam.
Melihat kepada situasi kelam kabut di Selangor, Aminuddin berkata, Nadma turun padang membantu untuk menyusun gerak kerja supaya lebih tersusun.
Ini termasuk katanya, menyelaras 11 agensi di bawah Nadma yang mana pihaknya sentiasa berkomunikasi setiap hari di Pusat Pengurusan Bencana Negara (NDCC) untuk mengawal semua tindakan jika berlaku masalah.
“Latihan simulasi perlu dilakukan seperti sudah dibuat di Kelantan dan Terengganu yang sentiasa mengadakan simulasi kepada penduduk.
“Ini adalah satu pengajaran kepada kerajaan negeri terutama Selangor supaya bersedia tidak kelam kabut dan bagaimana untuk bergerak ke hadapan. Kalau ikut tradisi kalau satu musim ada empat atau lima episod. Ini episod pertama, mungkin ada lagi dua atau tiga lagi episod,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan menangani situasi pasca banjir ketika ini, beliau berkata, proses pengepaman air sudah mula dilakukan dari Taman Sri Muda ke Sungai Klang selain tindakan pembersihan pasca banjir dengan koordinasi bersama pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut beliau, sebanyak tujuh unit pam dibawa masuk dari Perak dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat penilaian kawasan mana perlu pam air keluar. -UTUSAN










