PAS seolah-olah ‘melanggar’ Perikatan Nasional (PN) yang dianggotainya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila membuat keputusan bertanding di Sarawak. Ia susulan Bersatu menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menang.
Mengapa Pas bertindak begitu kerana parti itu tidak pernah menang pun di Bumi Kenyalang? Empat kali bertanding pilihan raya negeri (PRN) sejak 2001 hingga 2016, segalanya hampa belaka.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN menemu bual calon tunggal Pas Sarawak di Beting Maro dalam PRN-12, MOHAMAD ARIFRIAZUL PAIJO, 37, di Kuching kelmarin.
UTUSAN: Bukan mudah menggalas cabaran calon tunggal Pas?
ARIFRIAZUL: Ini tanggungjawab besar sebab Beting Maro bukan kawasan baharu. Ia kawasan saingan kuat dan jadi sasaran utama Pas untuk menang.
Mengapa sanggup ambil risiko walhal sebelum ini Pas kalah di situ?
Trend pengundian terhadap Pas setiap kali pilihan raya di Beting Maro ada peningkatan sejak beberapa penggal. Pas berjaya mendapat undi signifikan walaupun kalah. Pada 2016, kedudukan Pas di tangga kedua, perbezaan 1,707 sahaja.
Sebelum ini Pas uar-uarkan mahu bertanding tidak kurang 11 kerusi, tapi satu sahaja. Adakah wujud tekanan daripada Bersatu?
Perkara itu tidak berbangkit. Ini ketetapan Pas sendiri. Seperti dinyatakan timbalan presiden, banyak perkara dipertimbangkan. Salah satunya ialah Covid-19 dan aspek jentera parti cukup minimum. Kalau kami tidak menang pun, sekurang-kurangnya kami tidak hilang wang deposit.
Tetapi Pas didakwa mengkhianati GPS kerana tekad bertanding, benarkah?
Pimpinan Pas Pusat yang sesuai beri kenyataan hal ini. Setakat ini tiada maklum balas yang agak keras daripada GPS. Kami anggap ini hanya perlawanan persahabatan antara GPS dan Pas.
Jika Pas menang di Beting Maro, adakah bermakna Pas sudah menang seluruh Sarawak?
Saya setuju sebab sebelum ini kami tak pernah menang pun. Jika diberi mandat, kami akan menjadi suri teladan kepada keberadaan Pas di Sarawak. – UTUSAN ONLINE










