MELAKA: Penjual jeruk mangga di Melaka akur dengan larangan aktiviti jual beli di persimpangan lampu isyarat, lantas memilih lokasi yang lebih selamat untuk berniaga.
Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang persimpangan lampu isyarat Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA) mendapati tiada aktiviti jual beli jeruk mangga di atas jalan raya seperti kebiasaan.
Seorang penjual, Muhd. Aidil Mustaqim Zulkifli, 17, berkata, dia kini berniaga di tepi jalan kerana lebih selamat dan tidak mengganggu penguna jalan raya lain.
Katanya, dia akur dengan arahan pihak berkuasa meskipun jualan hariannya tidak serancak sebelum ini.
“Saya boleh jual antara tiga atau empat kotak jeruk mangga sehari tetapi hari ini satu kotak pun belum habis lagi. Berniaga di atas jalan raya lebih mudah kerana kami yang akan dekati pembeli.
“Saya boleh dapat komisyen sehingga RM80 sehari. Bagaimanapun, saya akur larangan ini demi kepentingan semua pihak termasuk pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui.
Selasa lalu, seramai empat pembeli dan lima pembekal jeruk mangga dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM150 oleh polis, manakala enam penjual bakal dikenakan tindakan undang-undang.
Sementara itu, seorang lagi penjual, Khairul Daniel Mohd. Sabrilee, 17, mengakui, tindakannya berniaga di atas jalan raya merupakan satu kesalahan dan pihak berkuasa hanya menjalankan tugas mereka.
Katanya, pihak majikan juga telah mengarahkan kami untuk lebih berhati-hati dan memilih lokasi yang selamat serta sesuai untuk berniaga.
“Nasib baik tidak berlaku kejadian tidak diingini sepanjang saya berniaga di jalan raya. Selepas ini saya akan lebih beringat dan meletakkan diri serta keluarga sebagai keutamaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE