ALOR SETAR: Persatuan-persatuan pengguna mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh tawaran diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berakhir esok.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah melanjutkan tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus sehingga Rabu ini.
Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tempoh tawaran itu perlu dilanjutkan kerana ramai pengguna gagal membayar saman mereka berikutan sistem bayaran saman trafik secara dalam talian, MySikap dan MyBayar tidak boleh diakses sejak Khamis lalu.
Katanya, pihaknya kesal apabila aplikasi bayaran saman itu tidak bersedia sepenuhnya untuk pengguna membayar saman menerusi perkhidmatan tersebut.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berkata, tawaran diskaun saman itu sepatutnya di lanjutkan bagi memberi peluang kepada pengguna untuk memperoleh manfaat itu.
“Jika mungkin alasan bahwa mereka tak boleh akses walaupun mereka telah cuba dengan laman dan kaunter yang sesak, maka wajar diberikan tempoh secukupnya untuk membolehkan mereka mengambil peluang daripada program diskaun saman itu.
“Jika tidak, maka mungkin tidak adil kerana mereka sudah mencuba untuk mengakses sama ada di kaunter yang terhad atau di laman pembayaran, jadi kita mahu supaya diskaun itu dapat memberi manfaat kepada pengguna,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE