Kota Krismas Sime Darby Motors hidupkan suasana perayaan - Utusan Malaysia

Kota Krismas Sime Darby Motors hidupkan suasana perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Motors City akan mentransformasi kompleks automotifnya di Ara Damansara, di sini kepada sebuah Kota Krismas bagi menghidupkan suasana perayaan tersebut, akhir bulan ini.

Kota Krismas itu bakal menghimpunkan rangkaian jenama kenderaan bertaraf dunia di bawah naungannya iaitu BMW, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, MINI, Motorrad, Porsche dan Volvo, di samping peruncit kereta terpakai Sime Darby Motors, iaitu Sime Darby Auto Selection di bawah kanopi cahaya.

Daya tarikan utama yang bakal menarik perhatian pengunjung adalah pokok Krismas setinggi 51 kaki yang tersergam indah serta dihiasi lampu merah dan putih yang bergemerlapan.

Pengarah Urusan Bahagian Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan berkata, pihaknya amat teruja memperkenalkan kota krismas itu buat kali pertama dan berharap akan mencetuskan pengalaman sambutan Krismas terbaik buat rakyat Malaysia.

“Mencerminkan aspirasi kami untuk menjadi lebih daripada sebuah pusat automotif cemerlang, kami telah mewujudkan suasana perayaan dalam persekitaran unik ini untuk menggembirakan pengunjung kami, membawa keceriaan musim cuti kepada semua, selain daripada aktiviti untuk menyumbang kepada masyarakat menerusi sumbangan amal.

“Acara kemuncak bulan perayaan ini ialah acara Jalanan Krismas Sime Darby Motors City yang terbuka khas kepada para pelanggan Sime Darby Motors selama dua hari iaitu pada 17 dan 18 Disember. 

“Persembahan muzik secara langsung, dendangan lagu-lagu Krismas, trak makanan dan juga pelbagai aktiviti dan permainan termasuk siaran perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris bakal memeriahkan Kota Krismas Sime Darby Motors di kala bermulanya kiraan detik menjelang Krismas,” katanya dalam kenyataan.

Para pengunjung bakal menjadi antara yang pertama menyaksikan kehebatan Volvo XC60 baharu, yang akan dipamerkan pada 4 dan 5 Disember serta Ford Ranger WildTrak Sport Special Edition serba baharu yang akan dilancarkan pada 8 Disember, diikuti oleh pelancaran Hyundai Palisade pada 16 Disember. 

Porsche akan mempamerkan 911 GT3 generasi ketujuh yang dilancarkan baru-baru ini di Pusat Porsche Ara Damansara bermula dari 17 Disember.

Tawaran perayaan juga disediakan di jenama-jenama kenderaan Sime Darby Motors masing-masing, termasuk rebat tunai menarik, kadar faedah rendah dan tawaran pembiayaan dan tawaran perkhidmatan tambahan bagi pembelian kenderaan baharu.

Sime Darby Motors turut mengambil kesempatan menganjurkan program amal Krismas dengan sumbangan amal dikutip dengan cara yang unik, dan pengunjung berpeluang untuk berinteraksi dengan lima watak orang salji digital. 

Setiap orang salji akan memaparkan kod QR yang mewakili lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengunjung hanya perlu mengimbas kod QR seterusnya menyalurkan wang menerusi e-dompet mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN