Kerugian penduduk Taman Sri Muda dianggar RM396 juta - Utusan Malaysia

Kerugian penduduk Taman Sri Muda dianggar RM396 juta

SUHAIMI Idris menunjukkan paras air yang menenggelamkan rumahnya di Taman Sri Muda, Shah Alam dalam kejadian banjir Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerugian awal yang dihadapi penduduk di 4,400 buah rumah di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini dianggarkan berjumlah RM396 juta dengan sekurang-kurangnya RM7,000 kos kerosakan perlu ditanggung bagi sebuah keluarga.

Manakala jumlah paling tinggi terpaksa ditanggung pula adalah RM300,000 apabila melibatkan kerosakan struktur rumah seperti kerosakan pada pintu, dinding dan lantai selain kemusnahan perabot dan barangan elektrik lain.

Malah dalam tinjauan Utusan Malaysia di Taman Sri Muda sebelum ini mendapati rata-rata penduduk memberitahu menganggarkan kerugian antara RM20,000 hingga RM40,000 bergantung kepada jenis kereta yang dimiliki dan kerosakan perabot.

Salah seorang penduduk di Pangsapuri Andora, Ahmad Tarmizi Yaakob, 52, mendedahkan, dia terkejut melihat keadaan rumahnya pada pagi semalam selepas banjir surut sepenuhnya.

Menurutnya, mozek lantai di keseluruhan rumahnya pecah dan rosak teruk selain terdapat rekahan pada permukaan dinding serta kesukaran membuka pintu rumah dan bilik akibat terlalu lama terendam dalam air banjir.

“Saya memang jangka itulah jumlah yang dialami sebab tidak seperti orang lain apabila boleh dikatakan struktur rumah rosak termasuk di bahagian ruang tamu, bilik dan dapur sementara semua perabot seperti almari, katil, sofa dan meja makan tidak boleh digunakan lagi.

“Kemudian peralatan elektrik seperti tiga televisyen, komputer dan komputer riba juga langsung tidak boleh digunakan lagi, selain itu, saya turut mendapati perkakasan elektrik hilang mungkin dicuri,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dia yang sudah tinggal lebih 14 tahun di rumah tersebut turut menjangkakan terpaksa melupuskan kereta Proton Waja miliknya selepas tenggelam sepenuhnya ketika banjir melanda lebih tiga hari sejak Sabtu lalu.

Keadaan di sekitar Persiaran Budiman dan jalan-jalan utama masuk ke perumahan itu kelihatan ratusan kereta terutama yang menggunakan ciri sistem elektronik tersadai di atas pembahagi jalan akibat ditenggelami air sedalam sehingga 12 kaki di kawasan tersebut.

Sementara itu, Manickam Palaniandy, 61, pula menanggarkan jumlah kerosakan yang dialaminya sekitar RM130,000 apabila keempat-empat keretanya iaitu Nissan Sylphy, Honda Jazz, Toyota Yariz dan Mazda tenggelam sepenuhnya.

Dia yang tinggal di Jalan Anggun menjangkakan perlu mengeluarkan kos sehingga RM20,000 bagi membaiki setiap kereta miliknya serta RM50,000 bagi membeli perabot dan perkakasan elektrik baru selepas kesemua barangan yang diletakkan di tingkat bawah rumahnya musnah.

“Saya baru tinggal di sini sejak dua tahun lalu, memang sangat terkilan kerana langsung tak sempat memindahkan kereta di tempat tinggi. Pernah banjir dekat kawasan ini, tetapi, tidaklah sampai menenggelamkan kereta.

“Malah, saya memang tak dapat alihkan pun kerana jalan keluar di Persiaran Budiman dan Jalan Jitu sudah pun dinaiki air, jadi, memang terpaksa pasrah dan saya bersama isteri dan tiga anak kemudian berpindah ke rumah saudara di Klang dengan bantuan bot penyelamat,” luahnya.

Bagi Suhaimi Idris, 52, yang tinggal di Pangsapuri Andora pula, bencana ini menyebabkan dia sekeluarga terkedu apabila baru sahaja membeli perabot baru dan mengubahsuai rumah pada April lalu.

“Dekat RM30,000 juga kos ubahsuai seperti pasang wainscottings, kabinet dapur, pintu rumah serta cat, cuma bahagian itu tidaklah rosak teruk dan boleh dibersihkan, tetapi keseluruhan perabot memang rosak teruk.

“Hampir semua perabot dalam rumah ini saya tukar baru selepas rumah siap diubah suai, tetapi semuanya rosak termasuklah set bilik tidur, sofa dan meja makan, malah televisyen saya alihkan dalam bilik di atas almari, tetapi tak sangka paras air menenggelamkan hampir keseluruhan rumah,” ujarnya.

Tambahnya banjir turut menenggelamkan kereta Perodua Myvi dan Proton Exora miliknya dan menjangkakan kos baik pulih bagi kedua-duanya mencecah RM20,000 sebuah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya