KUALA LUMPUR: UMNO boleh meneroka kerjasama politik dengan PKR dan Amanah, dengan syarat kedua-dua parti itu dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) itu perlu meninggalkan DAP.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, usaha tersebut akan disokong jika memberi keuntungan kepada orang Melayu dan agama Islam.
“Apa-apa juga pertemuan dan kerjasama yang boleh menguntungkan Melayu dan Islam, saya sokonglah, bukan terhad kepada Pas sahaja.
(Kerjasama dengan Pakatan Harapan pun tiada masalah?) kalau ia menguntungkan, tetapi pada saya dengan DAP tidak boleh.
(Anwar boleh tinggalkan DAP? “Ia.. dia ada dua, menguntungkan Melayu dan Islam, dan tidak bersama dengan DAP,” katanya ketika ditemui.
Dalam laporan Mingguan Malaysia minggu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan UMNO harus membuka ruang politik yang lebih luas berikutan tiada keikhlasan dalam Muafakat Nasional (MN).
Berikutan itu, jelas Ahmad Zahid lagi, suatu pembaharuan perlu dibuat kerana realiti dan landskap politik telah berubah, maka UMNO perlu terus menjadi parti relevan yang diterajui orang Melayu.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, bagaimanapun UMNO tidak boleh mengharapkan kelemahan pihak lawan untuk menang dalam pilihan raya.
“Kalau kita nak menang, kita kena rancang apa yang ada di depan kita. Tapi kalau mereka (parti lawan) nak berpecah, bukan kita yang merancang untuk mereka berpecah dan kalau berlaku perpecahan pun bukan atas perancangan kita.
“Kita kena merancang apa yang kita boleh buat, bukan mengharapkan orang belah sana berpecah atau apa sekalipun,” ujarnya lagi. – UTUSAN










