‘Kami tak sanggup lagi hadapi banjir’ - Utusan Malaysia

‘Kami tak sanggup lagi hadapi banjir’

PENDUDUK meredah banjir setelah kediaman mereka dinaiki air di Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak, semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penduduk di Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra Jalan Changkat Jong di sini menggesa kerajaan negeri menunaikan janji untuk memindahkan mereka ke penempatan baharu di Kampung Ayer Hitam.

Rata-rata penduduk yang ditemui tidak sanggup lagi menghadapi banjir yang kerap berlaku setiap kali hujan lebat sehingga menjejaskan kediaman sekali gus terpaksa menanggung kerugian besar.

Seorang penduduk, Rashida Darus, 32, berkata, perkara itu telah dijanjikan beberapa kali dengan yang terbaharu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Janji untuk beri penempatan baharu ini semasa arwah ayah saya masih ada lagi tapi sehingga kini masih tiada sebarang khabar. Malah, tanah yang dikatakan tapak penempatan baharu pun masih hutan.

“Kami sudah tidak tahan lagi duduk dalam banjir. Setahun sampai dua tiga kali air naik. Barang-barang rumah termasuk peralatan elektrik rosak dan untuk beli baharu pun tidak mampu,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, di sini semalam.

Bagi peniaga, Mohamad Omar Alang Ahmad, 52, dia dan keluarga telah menetap di kampung tersebut sejak 40 tahun lalu dan sentiasa berjaga-jaga setiap kali hujan lebat atau berterusan.

Katanya, terdapat kira-kira 30 buah rumah di kampung itu dan kesemuanya amat berharap dapat berpindah ke penempatan baharu di Kampung Ayer Hitam secepat mungkin.

“Saya difahamkan peruntukan telah pun ada namun pelaksanaannya masih kelam,,” katanya.

Sementara itu, Salehuddin Khuzai, 45, berkata, dia yang menetap di Ipoh bimbang dengan keselamatan isteri dan ibu mentuanya selepas mendapat berita rumah mereka dinaiki air.

“Saya lihat barang-barang dalam rumah semuanya habis terendam. Saya berharap kerajaan negeri dapat membantu penduduk di kampung ini bagi meringankan beban mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN