PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mahu jadikan Ekspo Dubai 2020 sebagai platform membantu Malaysia menjadi hab pendidikan global.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, penyertaan MQA dan UKM di ekspo terbabit bakal menyaksikan dua pihak berkenaan memeterai beberapa kerjasama strategik dengan syarikat, badan akreditasi dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari luar negara.
Katanya, ia juga mampu menarik minat pelajar asing untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) tempatan.
“Kedudukan UA kita yang baik dalam penarafan universiti di Asia dan peringkat dunia akan menjadi daya tarikan utama mereka (pelajar) untuk datang menyambung pengajian di Malaysia.
“Selain itu, kualiti program ditawarkan di UA yang mendapat akreditasi MQA dan fasiliti yang mantap juga menjadi faktor penting bagi menarik minat mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai inisiatif MQA, UKM dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan lain dalam membantu mempromosikan pendidikan tinggi negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global selari dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekwan Toriman berkata, pihaknya sudah bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan beberapa universiti dari Asia Barat dalam bidang pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.
Katanya, pihaknya sudah menghubungi pelajar antarabangsa pascasiswazah yang berpotensi untuk membuat prapendaftaran dengan UKM.
“Urus setia kami, Shaping Advanced & Professional Education Center (UKMSHAPE) akan berada di eskpo itu pada 9 hingga 19 Disember depan bagi mengurus serta meluluskan pendaftaran pelajar antarabangsa dan inisiatif ini dijangka dapat menarik sekurang-kurangnya 60 pelajar antarabangsa ke UKM.
“Pelajar antarabangsa yang mendaftar di Ekspo Dubai 2020 ini akan menikmati diskaun serta boleh memilih untuk mengikuti program secara hibrid atau dalam talian,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan berkata, pihaknya juga sudah bersetuju untuk memeterai empat kerjasama membabitkan dua inisiatif dari fakulti dan dua daripada UKM Pakarunding.
“Syarikat daripada Dubai sudah bersetuju untuk mengguna pakai kepakaran teknologi maklumat UKM Pakarunding membabitkan nilai kerjasama sekitar RM40 juta dalam tempoh lima tahun.
“Selain itu, kita juga akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) membabitkan program perubatan serta ekonomi dan perniagaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE