PETALING JAYA: Seorang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam terpaksa menjadikan sebiji pisang sebagai alas perut untuk bertahan selama dua hari selepas terperangkap dalam banjir teruk yang melanda kawasan itu pada Sabtu lalu.
Menceritakan kembali detik-detik cemas pada hari kejadian, Mohd Hazriq Soib, 35, berkata, dia yang sedar air naik terlalu cepat di kediamannya terus bertindak menyelamatkan diri dengan mencari perlindungan di Pasar Taman Sri Muda.
Ketika itu, katanya, dia hanya memikirkan keselamatan diri dan isterinya selain tidak menyangka akan terperangkap di pasar tersebut tanpa bekalan makanan untuk satu tempoh lama tanpa sebarang keperluan asas.
“Mujurlah ada kedai yang menjual buah-buahan di situ. Walaupun tutup, kami terpaksa mengambil pisang untuk terus bertahan lebih-lebih lagi pada masa itu air naik terlalu cepat. Saya naik ke pasar untuk selamatkan diri tanpa sempat membawa barang-barang penting.
“Hanya kad pengenalan dan beberapa dokumen penting sahaja. Yang lain habis musnah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Mohd. Hazriq, selepas dua hari terperangkap, dia akhirnya dapat keluar dari pasar terbabit tanpa bantuan daripada sesiapa, sebelum dapat dibawa ke PPS.
“Air naik paras bumbung. Jadi apa lagi yang boleh diselamatkan? Luluh hati apabila melihat keadaan kediaman kami yang musnah. Selain itu, kereta juga habis rosak teruk selain arnab peliharaan kami yang semuanya mati,” jelasnya.
Setakat kelmarin, Selangor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 32,044 individu dipindahkan ke 162 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daripada lapan negeri yang sedang dilanda banjir ketika ini.
Dalam pada itu, bagi Zainun Idris 58 berkata, dia berjaya mencari perlindungan di sebuah masjid dalam kejadiaan yang berlaku sejak Jumaat lalu.
“Akan tetapi saya dapat berlindung selama sehari sahaja. Selepas itu masjid yang kami jadikan tempat perlindungan pun terkesan dalam kejadian berkenaan.
“Walau apa pun saya bersyukur apabila dapat dibawa dan diselamatkan ke PPS,” jelasnya.
Bagi M. Ankammal, 62, dia menyifatkan kejadian yang menimpa dirinya sebagai paking buruk yang telah berlaku sejak lebih 20 tahun lalu.
Justeru, dia mengharapkan agar lebih banyak pihak berkuasa dapat membantu meringankan bebanan terutama daripada segi keperluan harian dan bantuan khas termasuk moratorium. – UTUSAN










