MELAKA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) akan bersama blok pembangkang pada Sidang Pertama (Khas) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 yang bersidang selama empat hari bermula 27 Disember ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, beliau bersama ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof masih dianggap sebagai pembangkang selepas berseteru dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Jelas beliau yang juga ADUN Bemban, setakat ini belum ada perbincangan atau tawaran daripada mana-mana pihak berhubung kedudukan dua ADUN PN daripada Bersatu.
“Memandangkan kita bukan kerajaan di Melaka, maka kita tidak tahu apa keputusan daripada pihak kerajaan negeri. Justeru, kita teruskan jadi pembangkang yang baik dan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi.
BN mencapai kemenangan besar dalam PRN Melaka sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sehubungan itu, kedudukan dua ADUN PN menjadi tanda tanya memandangkan BN dan PN mempunyai kerjasama di peringkat Persekutuan.
Mengenai pelantikannya sebagai Ketua BPN Bersatu Melaka yang baharu, Mohd. Yadzil berkata, ia merupakan cabaran besar buatnya kerana memikul amanat untuk menstruktur semula kepimpinan parti di negeri ini.
Menurutnya, fokus kini tertumpu kepada usaha memperkasakan asas Bersatu di Melaka dan memastikan parti bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Asas Bersatu memang sudah ada di Melaka. Kukuh atau tidak kita kena lihat daripada pelbagai sudut. Saya akan terus memperkasakan Bersatu seperti yang dilakukan pemimpin terdahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










