[SIDANG DUN PERAK] Diskaun 80 peratus premium tanah pajakan Kampung Baru - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN PERAK] Diskaun 80 peratus premium tanah pajakan Kampung Baru

SAARANI Mohamad pada Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menetapkan pemberian 80 peratus diskaun daripada kadar premium tanah pajakan Kampung Baru di negeri ini ke atas pemilik terakhir yang memohon pembaharuan tempoh pajakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, manakala 75 peratus daripada kadar premium asal diberikan kepada waris pemilik terakhir tanah yang memohon pembaharuan sama.

Beliau berkata, premium dijelaskan setelah kelulusan pemberimilikan tanah atau kelulusan permohonan pembaharuan tempoh pajakan tanah diperoleh mengikut kadar premium yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Tanah Negeri Perak.

“Perkara tersebut dijelaskan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bil 4/2019 berkaitan Penyelarasan Kelayakan Individu Yang Dibenarkan Membuat Permohonan dan Pemberian Diskaun 80 peratus Daripada Kadar Bayaran Premium Bagi Permohonan Pembaharuan Dan/Atau Perlanjutan Tempoh Pajakan Tanah dalam Kawasan Kampung Baru.

“Daripada penetapan ini, kadar premium yang dikenakan adalah munasabah dengan diskaun yang diberikan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia untuk menimbangkan permohonan rayuan pengurangan premium kepada individu yang layak dan memerlukan seperti mana yang digariskan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bil.3/2020,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr. Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) dan Teoh Yee Chern (PH-Astaka) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, sejak tahun 1950-an, terdapat 160 kampung baru yang wujud di negeri ini selain kampung-kampung baru itu berada di lokasi strategik seperti di pekan dan desa.

“Kebanyakan pemilik tanah kategori kediaman di kawasan kampung baru adalah dalam kalangan generasi kedua dan ketiga daripada pemilik asal tanah tersebut,” katanya.

Sementara itu, A. Sivanesan (PH-Sungkai) menerusi soalan tambahan meminta kerajaan negeri untuk mengenal pasti rumah-rumah yang terbengkalai atau tidak didiami dalam satu tempoh yang lama daripada 160 kampung baru.

Katanya, ini kerana premis berkenaan dibimbangi menjadi lokasi penyebaran penyakit seperti penularan malaria selain mencadangkan agar rumah berkenaan dipindah milik kepada individu lain yang memerlukan kediaman.

Menjawab soalan tambahan itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan mengadakan bancian ke atas kesemua rumah di 160 kampung baru itu bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah berkenaan.  – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN