Bencana bertimpa jejaskan bomba jalan operasi menyelamat - Utusan Malaysia

Bencana bertimpa jejaskan bomba jalan operasi menyelamat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bencana yang melanda negara bertimpa-timpa dalam satu masa menyebabkan keberkesanan operasi menyelamat yang dijalankan oleh anggota bomba sedikit terganggu.

Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jika sebelum ini beberapa jentera dapat digerakkan dalam masa lima ke 10 minit namun disebabkan berlakunya banjir, tanah runtuh, kemalangan dan sebagainya, ia sedikit mengganggu kecekapan anggota bomba.

“Kita sentiasa memastikan pengagihan operasi dapat digerak cuma kita minta rakyat faham dengan situasi berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu beliau menafikan dakwaan sukarelawan dan orang awam yang cuba membantu menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam dihalang masuk ke kawasan terlibat.

Sebaliknya, mereka dinasihatkan melaporkan bantuan ke bilik gerakan atas faktor keselamatan.

Nor Hisham berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tidak membenarkan pihak lain membantu operasi menyelamatkan mangsa.

“Cuma, semalam, keadaan di Sri Muda sangat gelap dan air masih tinggi dengan banyak kereta tenggelam.

“Keadaan bahaya malah ada bot terbalik jadi kita tidak mahu sebarang kecelakaan berlaku. Jadi sebelum beri bantuan perlu lapor pada bilik gerakan malah hari ini sukarelawan tersebut turut serta dalam operasi menyelamat,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, sebanyak 1,800 panggilan kecemasan melibatkan kejadian banjir di Selangor diterima pihaknya.

“Ada juga panggilan yang diterima pernah dilaporkan sebelum ini dan telah diselamatkan namun mereka tidak dapat menghubungi kerana kehabisan bateri serta telefon rosak ekoran bencana itu.

“Kita jangka jumlah panggilan akan menyusut tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×