ADU domba dan taktikal pembangkang bertanding usah dipandang enteng. Apa lagi oleh penyandangnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kempen pilihan raya negeri Sarawak (PRN) digerakkan DAP seperti mana kali ini diakui efisien dan `terkesan’ di hati.
Semalam di Padungan dan Kota Sentosa di Kuching, poster-poster kempen DAP memaparkan suntingan gambar tiga pemimpin musuh mereka, termasuk dua tersengih sebelum diarah diturunkan. Kontroversi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Poster itu memaparkan wajah Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian, diiringi kenyataan bahasa Melayu dan Cina: “Tolak Gabungan Pas Sarawak”.
“Kami tidak manipulasi, cuma beri fakta saja,” dakwa calon DAP Kota Sentosa, Michael Kong Fen Nian, merujuk kerjasama Perikatan Nasional (PN) dianggotai Pas dengan GPS di Pusat.
DAP ibarat `harimau luka’. Mereka hilang banyak kerusi pada 2016. Waktu itu bertanding 31 kerusi iaitu 14 kerusi majoriti Cina, 16 kerusi majoriti Dayak dan satu kerusi majoriti Melayu. Tapi hanya menang tujuh kerusi dan tewas di lima kerusi bandar dimenanginya pada 2011.
Pada 2011, DAP gunakan manifesto `Jom Ubah Sarawak’. Hasilnya, meraih kemenangan di hampir semua kerusi di bandar Kuching, Miri dan Sibu. Kali ini, DAP bertanding di 26 kerusi, diiringi saingan dua lagi rakan Pakatan Harapan nya yang lemah, PKR di 28 kerusi dan Amanah (lapan).
Taktikal dan `muslihat’ kempen berguna untuk menang. GPS pun sedar bukan mudah mentadbir Sarawak. Sensitiviti penduduknya tinggi – terdiri 28 kaum dan suku kaum utama. Ini termasuklah masyarakat Dayak yang tinggal merata di 5,000 rumah panjang seluruh negeri.
Tiada majoriti ketara antara kaum utama. Melayu dan Melanau mewakili kira-kira 27.5 peratus, Iban 29.5 peratus, Cina 28 peratus, Bidayuh 8 peratus dan Orang Ulu 6 peratus. – UTUSAN ONLINE









