PETALING JAYA: Pensyarah Ekonomi, Prof. Dr. Edmund Terence Gomez menegaskan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang telah menerima suratnya berhubung dakwaan salah laku membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau kemudian meminta Utusan Malaysia merujuk kepada Ahli LPPR, Datuk Seri Akhbar Satar.
“Hubungi Datuk Akhbar Satar, dia yang memberitahu saya bahawa Abu Zahar telah terima surat saya,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Abu Zahar menyatakan tidak menerima apa-apa surat daripada Edmund berhubung dakwaan salah laku membabitkan Azam.
Beliau berkata, pegawai Sekretariat SPRM juga telah menghubungi Edmund untuk bersemuka bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan secepat mungkin tetapi pakar ekonomi itu hanya sedia membincangkan perkara itu secara dalam talian.
Terdahulu, sebuah media melaporkan, Edmund menyangkal dakwaan bahawa beliau tidak membangkitkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam e-melnya kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) sebelum meletak jawatan sebagai ahli panel berkenaan.
Lapor media berkenaan, Edmund telah menghantar sekurang-kurangnya lima lampiran berhubung dakwaan salah laku Azam dalam e-melnya kepada pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Borhan Dolah.
Lampiran itu juga didakwa dihantar kepada Abu Zahar selain turut diberikan salinan PDF dengan tarikh dan kandungan surat-menyurat e-melnya kepada media.
Isnin lalu, Edmund meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan. -UTUSAN










