MARANG: Balai Polis Pulau Redang di Kuala Nerus bakal dilengkapi 10 unit kuarters bagi kemudahan kesemua 28 anggotanya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, projek pembinaan bernilai RM13 juta itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rolling Plan Kedua (RP2).
Katanya, kewujudan kuarters itu tepat pada masanya berikutan kekangan yang dihadapi kalangan anggota dan pegawai di balai berkenaan dalam mencari kediaman untuk disewa di pulau peranginan tersebut.
“Ketika ini, cuma ada lapan unit kediaman polis di sana dengan kebanyakan anggota lain terpaksa tinggal di darat dan berulang-alik ke balai menaiki bot.
“Situasi itu tentunya berbahaya terutama pada musim tengkujuh, jadi, saya berterima kasih kepada kerajaan di samping kementerian kerana prihatin terhadap kebajikan, keselesaan serta kesejahteraan warga polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan 26 kereta Toyota Hilux GS Cargo kepada polis Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di Wakaf Tapai di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa.
Sementara itu, Mazlan berkata, kemudahan kenderaan pacuan empat roda baharu berkenaan bakal melancarkan lagi penugasan polis kontinjen Terengganu dalam menghadapi bencana banjir kali ini. -UTUSAN ONLINE










