MELAKA: Sebanyak 11,557 pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis, akan menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 31 pusat pengundian awal akan dibuka mulai pukul 8 pagi dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding dan juga boleh disaksikan menerusi live streaming di Facebook SPR.
“Kesemua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis. Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 20 November bermula pukul 4 petang,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, 9,217 anggota tentera dan pasangan mereka dijangka mempengaruhi keputusan PRN Melaka di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini berikutan kehadiran beberapa calon pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanding atas tiket parti mahupun Bebas.
Kerusi Sungai Udang yang merupakan deposit selamat Barisan Nasional (BN) selama 14 penggal dijangka terkena ‘tulah’ senario tersebut.
Calon BN di DUN itu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad tidak boleh terlalu berharap kepada undi awal memandangkan calon Bebas, Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd. Zahar Hashim juga bukan calang-calang pemimpin.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), penyandang kerusi, Datuk Seri Idris Haron menang dengan majoriti 2,229 undian dalam pertembungan dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Lokman Abdul Gani.
Kemenangan Idris yang kini sudah berpindah ke DUN Asahan dikatakan berpunca daripada sumbang besar undian awal anggota tentera dan polis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Zahar menjelaskan, beliau yakin warga tentera yang sedang berkhidmat akan memihak bersandarkan kepada ikatan kekitaan dalam kalangan mereka.
“Ikatan persaudaraan dalam ketenteraan yang menyakinkan saya. Kami bersama dalam prinsip,’’ katanya.
Dalam pada itu, selain Sungai Udang, DUN Lendu dan Gadek turut ditandingi pesara tentera iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Mejar (B) Abdullah Mahadi (Lendu) dan calon Bebas, Azefen Amin (Gadek).
Abdullah ketika dihubungi berkata, undi awal dijangka memberikan sedikit kelebihan kepadanya berdasarkan pengalamannya dalam perkhidmatan yang mana anggota keselamatan akan mengundi kerajaan semasa di peringkat Persekutuan.
“Di Lendu ada lebih kurang 500 pengundi awal, anggota Kem 96 Depot Pangkalan Peluru (DPP), Masjid Tanah dan polis. Kalau ikut pengalaman, memang kami akan undi kerajaan yang memerintah.
“Jika situasi masih sama hari ini, undi awal saya jangka akan memberikan sedikit kelebihan kepada saya memandangkan PN adalah kerajaan di Pusat. Saya harap begitulah kerana lawan saya bukan calang-calang, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali,” katanya. -UTUSAN










