PETALING JAYA: Technology Park Malaysia (TPM) komited mengembangkan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) negara menerusi Hab Inovasi Antarabangsa (IIH) yang akan dinaik taraf dengan peruntukan RM30 juta yang diumumkan dalam Bajet 2022 baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzuleira Abu Bakar berkata, hab tersebut akan bertindak sebagai pusat kecemerlangan dan menyokong ekosistem inovasi dengan membangunkan kelompok teknologi baharu seperti dron, robotik dan kenderaan autonomi.
Ujarnya, TPM juga akan menjadi tuan rumah kepada Taman Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia dan akan memperkenalkan pelbagai kemudahan seperti hab pembangunan 5G, kemudahan inkubasi perladangan bandar mampan, hab inkubasi bioteknologi serta hab kenderaan autonomi dan robotik.
Beliau menegaskan, kesemua kemudahan ini saling berkait contohnya ujian, inkubasi dan pembangunan kenderaan berautonomi yang berjalan seiring dengan pembangunan teknologi 5G.
“Melalui IIH, kami menyasarkan untuk memberi impak kepada 10,000 usahawan dengan menyediakan akses kepada infrastruktur dan kemudahan.
“Sasaran lain termasuk melatih dan membimbing 5,000 usahawan dalam akses pasaran, serta mendaftarkan 7,500 peserta dalam program pertukaran pengetahuan dengan universiti dan institut penyelidikan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Dzuleira memaklumkan, pihaknya turut berharap untuk menempatkan 750 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau syarikat pemula di kemudahan yang akan dipasang dengan teknologi 5G.
Jelasnya, pembangunan dron ialah satu lagi bidang tumpuan, yang mana pihaknya menyasarkan untuk menyokong 50 syarikat melalui bimbingan dan kemudahan makmal dron.
“Selepas syarikat tempatan, Aerodyne diiktiraf sebagai syarikat perkhidmatan dron terbaik di dunia, kami mahu Malaysia terus berkembang sebagai hab syarikat berkebolehan dron yang terkenal di dunia.
“Industri dalam pasaran dron global dijangka mencapai AS$41.3 bilion (RM171.02 bilion) pada 2026, jadi melalui inisiatif ini, kajian kes yang lebih baik dan peraturan penyesuaian boleh dibuat untuk memacu inovasi.
“Perkhidmatan dron boleh diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor seperti e-dagang, logistik atau penggemblengan sumber atau ubat yang berkaitan ke luar bandar, kawasan terpencil, atau mereka yang terjejas oleh bencana alam,” ujarnya.
Justeru, beliau menambah, geran padanan RM100 juta untuk bumiputera meneroka industri aeroangkasa adalah langkah yang baik untuk menggalakkan penghasilan penyelesaian yang inovatif. – UTUSAN ONLINE