KUALA LUMPUR: Belum ada wakil kerajaan sama ada Kementerian Kesihatan atau pihak lain mendekati jawatankuasa Hartal Doktor Kontrak bagi berbincang mengenai masalah lantikan tetap dan beberapa tuntutan yang disuarakan golongan berkenaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, setakat ini, pihaknya tidak didekati sesiapa yang mungkin berusaha untuk berunding secara baik sekali gus mengelakkan berlakunya protes siri kedua di seluruh negara.
Hal itu pula hadir selepas gerakan itu mengumumkan akan mengadakan protes siri kedua setelah kerajaan didakwa gagal menyelesaikan masalah lantikan mereka untuk berkhidmat dan memperoleh manfaat setaraf doktor tetap.
“Tiada mana-mana pihak yang menghubungi kami. Lagipun kami belum lagi menulis dan menghantar surat rasmi kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai hal ini. Jadi, tiada apa-apa perkembangan lagi setakat ini.
“Apa pun, apa yang dirancang masih berjalan dan mogok akan tetap berlangsung pada awal bulan depan nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Muhammad Yassin berkata, Hartal Doktor Kontrak dijangka mengadakan sidang akhbar esok bagi menerangkan proses dan gerak kerja mogok berkenaan di samping memberi peluang kepada kepada pelbagai agensi media bertanyakan soalan-soalan berkaitan.
Pun begitu katanya, belum dipastikan sama ada sidang akhbar berkenaan diadakan secara dalam talian atau bersemuka selain masa dan tempat juga belum ditetapkan.
Pada 16 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan, Hartal Doktor Kontrak merancang meletak jawatan secara besar-besaran menerusi siri mogok kedua di seluruh negara pada Disember ini, jika baki kira-kira 22,288 doktor berkenaan tidak diserapkan ke jawatan tetap oleh kerajaan.
Doktor-doktor kontrak yang belum ‘diiktiraf’ akan digerakkan dengan membawa plakad bermesej ‘letak jawatan’ sebagai simbolik protes disusuli peletakan jawatan beramai-ramai pada bulan sama namun dijangka mengambil masa antara 30 minit hingga sejam.
Utusan Malaysia baru-baru ini juga melaporkan 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi berstatus kontrak boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk pelantikan tetap.
Setakat 22 Mei lalu, terdapat 32,516 pegawai lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi manakala daripada jumlah tersebut, seramai 23,077 adalah pegawai perubatan Gred UD41.
Bagaimanapun daripada jumlah 32,516 itu, hanya 789 daripada 2,544 pengambilan pertama pada 2016, pengambilan pertama pada 2017 dan sebahagian pengambilan kedua pada 2017 atau 30 peratus daripada mereka diberikan lantikan tetap atau layak menerima jawatan itu.
Pada 26 Julai lalu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak melakukan mogok secara aman di seluruh negara selepas kerajaan didakwa gagal memenuhi tuntutan menawarkan pelantikan tetap kepada mereka.
Dalam pembentangan Bajet 2022 pula, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak, namun, ia belum menjawab persoalan dan penantian mereka mengenai pelantikan mereka secara tetap. – UTUSAN ONLINE










