PETALING JAYA: Sesiapa yang pernah menonton filem Annabelle arahan pengarah tersohor Hollywood, James Wan, pasti akan mengaitkan kisah patung beruang yang didakwa mempunyai semangat jin dan hantu iblis ini.
Kewujudan patung beruang berhantu itu didedahkan oleh seorang perawat dari Terapi Islam Ibnu Katsir, Muhammed NorHezri Baharudin dalam Facebook setelah merawat seorang pesakit yang mengalami kerasukan.
Dia membuat pendedahan berkenaan sebagai peringatan kepada orang ramai khususnya umat Islam supaya tidak menyimpan patung untuk dijadiakan hiasan atau kawan di rumah.

Malah, Muhammad NorHezri turut menunjukkan gambar-gambar detik patung beruang itu dibakar sebagai simbolik memusnahkan ‘sarang’ jin berkenaan.
“Nasihat dan panduan terus diberikan pada pesakit ini. Jin telah menetap pada patung tersebut sehingga pesakit merasakan patung tersebut hidup. Patung ini akhirnya dibakar dan pesakit dapat merasakan sesuatu yang amat berbeza didalam dirinya,” kata Muhammad NorHezri.
Patung beruang tersebut merupakan milik seorang gadis muda yang mendapatkan rawatan di pusat rawatan berkenaan.
Gadis itu sebelum ini dikatakan sering mengalami kerasukan, panas baran dan mengalami kegatalan kulit dan kini telah pulih sepenuhnya. -UTUSAN ONLINE