‘Syurga Pada Penjaja, Ekonomi Bertaraf Bandaraya’ - Utusan Malaysia

‘Syurga Pada Penjaja, Ekonomi Bertaraf Bandaraya’

MOHD. NOOR HELMY Abdul Halem menyantuni masyarakat di sekitar DUN Duyong, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong memperkenalkan slogan ‘Syurga Pada Penjaja, Ekonomi Bertaraf Bandaraya’ sebagai janji untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat sekiranya diberikan mandat.

Mohd. Noor Helmy Abdul Halem ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, ia seiring dengan pembaharuan yang ingin dibawanya khusus membantu penduduk yang kebanyakannya telah beralih kepada dunia perniagaan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Jelas beliau yang juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), sepanjang berkhidmat lebih setahun, hampir 120 permohonan lesen penjaja diterima dan jumlah tersebut terus merekodkan peningkatan mendadak.

“Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, kita dapat lihat ramai orang mula beralih kerjaya dengan menjadi peniaga untuk mendapatkan sumber pendapatan harian dan situasi ini juga dapat dilihat berlaku di Duyong.

“Segala jenis makanan ada dijual di sepanjang jalan di Duyong daripada makanan tradisi sate sehinggalah barat seperti piza. Jadi, saya memang berhasrat untuk memperkasakan perniagaan penjaja,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, beliau berkata, misi itu bagaimanapun memerlukan kesinambungan termasuk menyeragamkan kumpulan berkenaan untuk membentuk satu bidang perniagaan yang lebih sistematik.

“Kita perlu ada perancangan untuk melihat hasil dalam garis masa dua tahun, tiga tahun serta seterusnya dan perlu menyeragamkan mereka ini termasuk, misi dan hasil yang disasarkan.

“Apabila kita kata nak seragamkan, memang benda itu nampak mudah, namun ia mengambil masa kerana tidak semua orang boleh menerima perubahan secara mendadak,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×