Sunway beli tanah RM2.51 bilion di Singapura  - Utusan Malaysia

Sunway beli tanah RM2.51 bilion di Singapura 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Berhad menerusi unit pembangunan hartanah milik penuhnya, Sunway Development Pte. Ltd. (SDPL), memeterai perjanjian jual beli secara kolektif bersama Hoi Hup Realty Pte. Ltd. membabitkan pembelian 22 plot tanah kediaman pegangan bebas di Tanjong Katong, Singapura bernilai RM2.51 bilion.

Menurut Sunway, di bawah Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) 2019, tapak itu merupakan zon kediaman dengan nisbah plot 2.8. 

“Sunway dan Hoi Hup Realty bercadang untuk membangunkan semula tapak tersebut menjadi kondominium persendirian mewah dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.14 bilion.

“Pengambilalihan itu merupakan pemerolehan besar kedua Sunway di Singapura pada tahun ini selepas memperoleh tapak pegangan bebas Flynn Park seluas 4.79 ekar di Pasir Panjang bernilai RM1.13 juta,” katanya dalam kenyataan. 

Jelasnya, 22 bidang tanah dengan keluasan enam ekar itu terletak di Thiam Avenue dan hanya 600 meter dari stesen Transit Aliran Massa (MRT) Dakota.

Selain itu, katanya, tapak tersebut terletak berhampiran dengan beberapa institusi pendidikan terkemuka seperti Sekolah Rendah Kong Hwa, Sekolah Perempuan Haig, Sekolah Rendah Tanjong Katong, Sekolah Menengah Dunman dan Sekolah Menengah Chung Cheng. 

Tapak itu  juga tidak jauh daripada lebuhraya Nicoll atau ECP.

Pengambilalihan itu mencerminkan perkembangan berterusan Sunway di Singapura selepas  Ki Residences dan Parc Central telah mencapai prestasi yang baik dan pengambilan kukuh sebanyak 75 peratus dan 95 peratus masing-masing, sejak dilancarkan pada awal 2021.

Dengan pengambilalihan tanah terbaharunya itu, simpanan tanah Sunway Property sehingga kini berjumlah 3,345 ekar dengan potensi GDV sebanyak RM60.5 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN