[SIDANG DUN JOHOR] Tidak tepat 7,301 pelajar berhenti sekolah di Johor - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN JOHOR] Tidak tepat 7,301 pelajar berhenti sekolah di Johor

MAZLAN BUJANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyangkal dakwaan terdapat seramai 7,301 murid dan pelajar sekolah di negeri ini berhenti belajar antara 2019 hingga tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, data yang direkodkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menunjukkan tidak lebih 600 murid dan pelajar berhenti sekolah sebelum wabak Covid-19 menyerang negara.

Beliau berkata, selepas pandemik melanda pada Mac tahun lalu, jumlah murid dan pelajar negeri ini yang berhenti sekolah menurun kepada dua angka sahaja setelah kebanyakan masa sekolah tidak beroperasi.

“Menurut data JPNJ, hanya 500 hingga 600 murid dan pelajar sekolah berhenti sekolah sebelum pandemik disebabkan masalah gejala sosial serta isu keluarga.

“Kesemua pelajar ini akan diberi kaunseling terlebih dahulu sebelum memberi amaran. Jika masih berdegil dan jika ia tidak berkesan, barulah pelajar akan diberhentikan. Kita tidak mahu mengambil tindakan menghukum sebaliknya menggunakan kaedah memujuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chew Chong Sin (PH-Mengkibol)  pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini hari ini.

Chong Sin ingin tahu jumlah murid dan pelajar negeri ini yang berhenti sekolah antara 2019 hingga tahun ini dan sebab mengapa mereka berhenti sekolah.

Dalam pada itu, Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, JPNJ memperkenalkan portal Gerbang Pembelajaran Digital bagi membantu murid dan guru mengejar semula silibus pembelajaran yang tertinggal disebabkan penutupan sekolah sebelum ini.

“Sekolah akan membuat simulasi ujian mendengar dan ujian bertutur bagi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta ujian amali sains untuk membantu murid menguasai silibus pembelajaran yang tertinggal.

“JPNJ melalui Sektor Pembelajaran membimbing Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk melaksanakan ‘Catch Up Plan’ berdasarkan kemahiran asas kurikulum pelajar Tingkatan 5 mulai awal tahun 2022 supaya silibus pembelajaran yang tertinggal dapat diselesaikan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN