[SIDANG DUN JOHOR] RM332 juta biayai PKS di bawah MPUNJ - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN JOHOR] RM332 juta biayai PKS di bawah MPUNJ

MOHD. IZHAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) menerusi agensi-agensi di bawahnya telah meluluskan permohonan pembiayaan oleh perusahaan kecil sederhana (PKS) sebanyak RM332.6 juta yang memberi manfaat kepada 21,934 usahawan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, permohonan pembiayaan sehingga Julai lalu itu salah satu bentuk bantuan yang ditawarkan bagi membantu usahawan kembali aktif menjalankan perniagaan dan berdaya saing dalam cabaran ekonomi norma baharu.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk insentif dan inisiatif berbentuk skim pembiayaan, geran bantuan perniagaan, padanan perniagaan mahupun program pembangunan usahawan seperti seminar dan latihan yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu hingga kini. 

“Semua inisiatif yang telah dilaksanakan telah memberi manfaat kepada hampir 60,000 usahawan Johor,” katanya menjawab soalan lisan Najib Lep (PN-Bukit Pasir) mengenai kaedah kerajaan bagi membantu usahawan yang terkesan teruk dan berisiko untuk gulung tikar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pusat melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan mempergiat pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pembangunan keusahawanan melalui galakan usahawan yang dipacu inovasi dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan kompetitif dan mapan.

Selain itu, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) turut menyediakan RM7 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Pasca Covid-19 bagi tahun ini yang fokus untuk tingkatkan daya saing serta pendapatan usahawan menerusi inisiatif yang dilaksanakan sepanjang PKP. 

“Skop bantuan yang ditawarkan adalah berbentuk geran bantuan pembelian mesin dan peralatan, tambah baik premis, bantuan tunai mahupun program latihan kemahiran yang telah memberi manfaat kepada hampir 40,000 usahawan,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kerajaan Johor menyambut baik Program Penghijauan Malaysia dengan menyasarkan tanaman sebanyak empat juta pokok menjelang akhir tahun 2025 bagi menjayakan program itu.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, sebanyak 800,000 pokok akan ditanam dalam masa setahun dalam program yang turut melibatkan pihak berkuasa tempatan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan masyarakat, institusi pengajian tinggi, sekolah dan individu.

“Sehingga Oktober lalu, sebanyak 256,510 pokok telah ditanam yang melibatkan pelbagai pihak,” katanya bagi menjawab soalan lisan S. Gopalakrishnan (PH-Tiram) mengenai tindakan kerajaan negeri berhubung kempen penanaman pokok untuk menjaga alam sekitar. 

Menurut Vidyananthan, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah melancarkan program itu di peringkat negeri pada 5 Januari lalu dalam usaha mengekalkan kawasan hijau di seluruh negeri dan memelihara serta memulihara kawasan berhutan selain meningkatkan kesedaran serta memupuk semangat cintakan alam semula jadi.

Tambahnya, ia sekaligus merakyatkan komitmen dan semangat pengekalan kawasan liputan hijau sebagai satu agenda nasional selain merealisasi Agenda Penghijauan Malaysia sebagai agenda nasional bagi menangani fenomena perubahan iklim dan alam sekitar.

“Pelaksanaannya bagi memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai. Program ini juga memperkukuh sokongan pembangunan negara ke arah pencapaian Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama dan Sustainable Development Goal 2030,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN