PRN Melaka bukan medan eksperimen - Utusan Malaysia

PRN Melaka bukan medan eksperimen

Ahmad Maslan melihat laporan akhbar mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semasa melawat Pusat Media di Ayer Keroh, Melaka, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Nasional (BN) mengingatkan jentera dan penyokongnya tidak menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai medan uji kaji yang akan mengulangi penubuhan kerajaan yang tidak stabil.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, perbuatan melakukan eksperimen menukar kerajaan seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyebabkan negeri dan negara mengalami tempoh ketidakstabilan pemerintahan yang begitu lama.

“Kita ada tiga Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun dan dua Ketua Menteri dalam tempoh dua tahun di Melaka.

“PRN Melaka bukan medan untuk kita buat ekperimen kepada BN dan penyokong-penyokong BN dan juga jentera dan pengundi BN. Jangan buat eksperimen dengan mencuba memilih orang lain kerana tersalah pilih buat eksperimen jadilah macam 2018,” katanya semasa melawat Pusat Media PRN Melaka di sini, semalam.

Menurut Ahmad Maslan, eksperimen itu terbukti silap dan salah yang menyebabkan negara tidak stabil kerana menjadikan pilihan raya sebagai ujian.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ahli dan penyokong UMNO di kerusi Bemban dan Gadek telah dapat menerima calon MCA dan MIC yang bertanding di situ, walaupun sebelum ini mereka meminta supaya kedua-dua kerusi itu dikembalikan kepada UMNO.

“Saya harap kerusi Bemban dan Gadek kita boleh menang. Sebelum ini ada usaha-usaha supaya dikembalikan kerusi itu kepada UMNO. Kita sudah berikan kefahaman kepada jentera kita dan isu telah selesai.

“Dan mereka menerima bahawa Bemban dan Gadek kita serah kepada MCA dan MIC. Jadi saya secara peribadi saya berkeinginan yang tinggi supaya dua kerusi itu dimenangi calon MCA dan MIC,” ujarnya.

Kerusi Bemban ditandingi calon MCA, Datuk Koh Chin Han bersama empat lagi calon daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan dua calon Bebas manakala di Gadek, BN meletakkan calon MIC iaitu P. Shanmugam yang akan ditentang lima calon lagi termasuk dari Putra. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN