MUKADIMAH
Diasaskan pada 2009, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) ialah sebuah agensi di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan, ditugaskan untuk mempromosikan penjagaan kesihatan Malaysia di persada global, di samping menjamin kelangsungan industri ini.
Sejak penubuhannya, MHTC berfungsi untuk menggembleng para penggiat industri dan pembekal perkhidmatan untuk memudah cara dan mengembangkan industri pelancongan kesihatan Malaysia di bawah jenama “Malaysia Healthcare” dengan matlamat menjadikan Malaysia destinasi penjagaan kesihatan yang terkemuka di dunia.
Utusan Malaysia mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, MOHD. DAUD MOHD. ARIF bagi mengetahui dengan lebih lanjut peranan dan masa hadapan sektor penjagaan kesihatan Malaysia.
UTUSAN: Boleh kongsikan perkembangan sektor pelancongan kesihatan dan sumbangannya kepada negara?
MOHD. DAUD MOHD. ARIF: Malaysia telah meraih populariti sebagai destinasi kesihatan dan kesejahteraan yang selamat lagi diyakini sejak sekian lama. Dan kadar pertumbuhan serta kemajuan industri ini disumbang oleh penjagaan kesihatan Malaysia yang menonjolkan kelebihannya seperti kualiti bertaraf dunia, kemudahan untuk diakses dan juga ciri mampu milik.
Jumlah pelancong kesihatan yang telah mengunjungi Malaysia dari 2011 hingga 2019 juga telah meningkat sebanyak 90 peratus dan pada 2019, pendapatan yang dijana sektor pelancongan kesihatan Malaysia adalah berjumlah RM1.7 bilion.
Meskipun wabak ini telah memperlahankan usaha kita untuk terus mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi terkemuka bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan, sektor pelancongan kesihatan telah digelar sebagai penjana pertumbuhan ekonomi yang signifikan buat negara, dan khususnya penting bagi pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
Sasaran optimistik kami bagi 2021 adalah untuk menjana lebih daripada RM520 juta dalam bentuk pendapatan. Ia akan bergantung kepada faktor seperti pembukaan sempadan, termasuk keadaan pasaran yang baik serta ketersediaan pasport vaksin.
Berapa ramai pemain dalam sektor ini dan cabaran yang dihadapi?
Di Malaysia, terdapat sejumlah 210 hospital swasta, tidak termasuk klinik pergigian dan pusat kesihatan dan kesihatan. Malaysia Healthcare terdiri daripada 73 fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang terkemuka (22 anggota elit, 51 anggota biasa). Ini bukan sahaja melambangkan standard yang tinggi dalam perkhidmatan perubatan dan keselamatan pesakit yang ditawarkan, malah mereka juga memiliki akreditasi yang diiktiraf di peringkat global.
Malangnya, ketidaktentuan yang dibelakangi oleh wabak Covid-19 telah memberi impak yang besar ke atas hospital-hospital swasta kita, termasuk rantaian nilai yang berpaut dengannya seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel, fasilitator kesihatan, pemandu pelancong, pembekal logistik dan banyak lagi.
Di MHTC, kami menjangkakan lebih ramai pesakit yang akan mencari kaedah rawatan alternatif buat masa ini, jadi destinasi-destinasi penjagaan kesihatan di serata dunia mungkin perlu menghadapi susutan dalam kadar pesakit. Fasiliti dan destinasi penjagaan kesihatan perlu membuat persiapan denganprosedur operasi standard (SOP) dan prasarana bagi membekalkan pengalaman yang lebih selamat buat para pesakit untuk meyakinkan mereka bahawa seluruh proses yang melibatkan ketibaan, rawatan dan kepulangan mereka akan diuruskan dengan garis panduan yang bertepatan.
Sejauh mana Malaysia jadi tarikan pelancong asing dalam konteks pelancongan kesihatan?
Daya tarikan penjagaan kesihatan Malaysia diserlahkan oleh pelbagai faktor meliputi kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang mengutamakan keselamatan pesakit, termasuk kedudukan strategik kita sebagai negara yang mesra Muslim, kewujudan pelbagai tarikan pelancongan, serta sistem penjagaan kesihatan berbilang bahasa yang meluaskan lagi keupayaan kita untuk berkomunikasi dengan pesakit dari Asia dan serata dunia.
Tambahan lagi, MHTC juga giat meluaskan pasaran pelancongan kesihatannya dengan membuat sasaran yang turut melangkaui fokus pasarannya. Sejak 10 tahun yang lalu, pelancong kesihatan dari Australia, Bangladesh, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) antara yang tergolong di tangga yang teratas.
Malaysia juga telah meraih populariti sebagai Hab Kardiologi Asia sepanjang dekad yang lalu dengan adanya fraterniti perubatan pakar serta infrastruktur penjagaan kesihatan di Malaysia. Malah, Institut Jantung Negara (IJN) telah menerima pengiktirafan dalam industri kesihatan global setelah menjadi hospital pertama di luar Amerika Syarikat yang berjaya mengimplan perentak jantung Micra AV, iaitu peranti implan untuk rawatan degupan jantung yang lemah melalui perentak. Langkah ini menarik golongan pesakit yang khusus ke Malaysia, dalam usaha mereka untuk mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan berkualiti yang diyakini dan mampu dimiliki.
Negara telah dilanda pandemik hampir dua tahun, sejauh mana kesannya kepada sektor pelancongan kesihatan negara?
Seperti yang telah dikongsikan pada soalan ketiga, kebanyakan perniagaan, termasuk para penggiat industri pelancongan kesihatan di serata dunia telah terkesan dengan wabak Covid-19.
Penutupan sempadan juga merumitkan penawaran khidmat penjagaan kesihatan kepada mereka yang selalu membuat kunjungan dari negara luar untuk mendapatkan rawatan dalam jangka waktu tertentu, antaranya pesakit kardiak dan kanser. Dengan pandemik ini yang masih berlanjutan, para pesakit kami yang sedia ada juga mungkin tidak dapat diberikan khidmat kesihatan yang sepatutnya.
Berlatarkan situasi semasa, misi kami pada saat ini adalah untuk membina semula sektor ini dengan meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan ke atas Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang selamat lagi dipercayai.
Usaha-usaha diambil oleh MHTC membantu pemain sektor dalam tempoh mencabar akibat pandemik?
Sebagai agensi yang ditugaskan untuk memudah cara dan mempromosikan industri pelancongan kesihatan Malaysia, kami akan memberi tumpuan untuk memulihkan sektor ini dengan terus membina keyakinan orang ramai terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang selamat lagi dipercayai, terutamanya dalam pasaran yang disasarkan seperti Indonesia, China, Vietnam, Kemboja, Singapura, dan Brunei, termasuk rantau-rantau sekunder yang lain.
Kami juga sedang bekerja secara rapat dengan hospital-hospital ahli untuk mengenal pasti pasaran lain yang boleh diberi perhatian, contohnya Timur Tengah, yang akan membantu menunjukkan kepentingan usaha sama antara sektor awam dan swasta dalam merancakkan sektor ini sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang utama, juga bermanfaat bagi pemulihan ekonomi selepas Covid-19. – UTUSAN ONLINE