PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.
Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus mempertahankan keutuhan wilayah, hak-hak kedaulatan dan kepentingan negara di perairan itu.
Mesej tersebut antara yang dibincangkan oleh Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena lawatan kerja rasmi tiga hari ke republik itu bermula kelmarin.
Menurut Ismail Sabri, Malaysia berpegang teguh bahawa kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian dan tindakan yang akan diambil.
“Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif.
“Sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf semua termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Presiden Indonesia itu di Jakarta, semalam.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, Malaysia komited mencapai penyelesaian bagi me muktamadkan pembatasan sempadan maritim antara kedua-dua negara dan bersepakat agar usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan.
Berkaitan isu Myanmar, Ismail Sabri dan Joko Widodo sependapat bahawa ia perlu ditangani dengan baik dan Malaysia menyokong penuh Konsensus Lima Perkara yang telah dicapai dalam Mesyuarat Pemimpin ASEAN serta menyeru pelaksanaannya dapat disegerakan.
“Berkaitan isu Rohingya, Malaysia yang secara langsung terkesan kerana terpaksa menerima jumlah pelarian Rohingya yang ramai, akan terus mendokong usaha-usaha ke arah proses penghantaran warga Rohingya ke tempat asal mereka di Wilayah Rakhine,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia melibatkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan bantuan bersama dalam perkara kastam.
Menurut beliau, sebanyak lima lagi MoU dan perjanjian juga dimeterai sektor swasta kedua-dua negara dengan nilai pelaburan yang memasuki Indonesia melalui MoU dan perjanjian ini bernilai AS$3.1 bilion.
Sementara itu, Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL) mengambil kira situasi pandemik Covid-19 bertambah baik.
Menurut Ismail Sabri, inisiatif berkenaan yang diharap dimuktamadkan pada awal tahun depan memudahkan pergerakan semula rakyat keduadua negara dengan pembukaan semula sempadan secara kaedah selamat.
“Koridor perjalanan ini juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi Covid-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR Covid-19,” katanya.
Perdana Menteri turut memberi jaminan akan memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia dipelihara.
Katanya, kedua-dua negara sedang memuktamadkan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia dalam masa terdekat. Ismail Sabri juga mengalualukan pelabur-pelabur daripada Indonesia untuk melabur di Malaysia.
Beliau menjelaskan, Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$15.67 billion pada tahun 2020. – UTUSAN ONLINE










