Perkenal skim perlindungan isi rumah - Utusan Malaysia

Perkenal skim perlindungan isi rumah

Prof. Dr. Barjoyai Bardai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran mewujudkan skim perlindungan isi rumah bagi mengatasi masalah peningkatan bilangan pencarum yang memiliki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai menjelaskan, masalah kekurangan simpanan berlaku kerana mereka hanya menerima bayaran gaji RM2,000 ke bawah setiap bulan.

“Kalau 10 juta orang makan gaji, lima juta daripadanya atau hampir 50 peratus yang mencarum hanya menerima gaji kurang RM2,000. Berapa sangatlah mereka boleh simpan.

“Kalau mereka mencarum RM600 setahun, dalam tempoh 40 tahun mereka boleh simpan RM24,000, itupun kalau tak keluar duit untuk pelaburan atau bayar deposit. Sebab itu, angka simpanan kurang RM10,000 itu mencerminkan masalah dihadapi golongan pencarum ketika ini. Maksimum boleh simpan pun RM20,000 kerana bayaran gaji sangat rendah,” katanya.

Malah, katanya, antara faktor pembayaran gaji yang rendah adalah kerana majikan syarikat lebih mementingkan pemegang saham daripada pekerjanya sendiri.

“Lebih 20 juta pekerja sebenarnya menerima gaji kurang 35 peratus daripada hasil syarikat mereka kerana biasanya pemegang saham yang mendapat manfaat lebih, bukan pekerja,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan skim perlindungan isi rumah seperti endowment fund yang dilakukan di Norway supaya pencarum KWSP tidak hanya dilindungi dengan simpanan individu, tetapi juga simpanan khas dari kerajaan.

“Kerajaan tidak cukup melabur kepada keselamatan sosial, sedangkan dengan perlindungan sosial membolehkan pencarum KWSP bersara dengan selesa, kita tak boleh harapkan mereka mencarum dengan tahap gaji yang rendah.

“Skim perlindungan sosial di Norway kini mempunyai simpanan sebanyak AS$1 trilion dolar. Jadi apa yang dilakukan di Norway, tidak terlambat untuk dilakukan di Malaysia. Kalau mula hari ini, RM30 hingga 50 bilion dapat dilaburkan tetapi, kerajaan perlu berani wujudkan skim ini,” katanya.

Katanya, pelbagai pendekatan boleh dilakukan untuk menyediakan dana untuk mewujudkan skim ini, yang mampu memberi aset bernilai kepada pencarum KWSP.

“Banyak yang boleh dilakukan, seperti memindahkan harta kerajaan ke skim ini, contohnya dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas dan Khazanah, atau dipindahkan dana ke tanah rizab Melayu. Dengan usaha tertentu, simpanan RM1 trilion boleh menjadi asas malah mampu menjana pendapatan RM100 bilion setahun.

“Kalau di Norway, skim itu membolehkan rakyat dijamin dengan sebuah rumah. Mereka menjadi jutawan kerana nilai rumah mencecah RM1 juta selain jaminan jika hilang pekerjaan. Jadi, skim ini boleh menjadi satu lagi lapisan perlindungan kepada simpanan rakyat sedia ada,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung 74 peratus kaum Melayu dan bumiputera adalah penca­rum pa­­ling ramai mempunyai baki sim­panan kurang daripada RM10,000 berbanding pencarum berbangsa lain, dengan 46 peratus atau 5.9 juta pencarum secara keseluruhan mempunyai baki simpanan kurang RM10,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN