PETALING JAYA: Pergerakan penumpang domestik bulanan melalui rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) meningkat hampir tiga kali ganda daripada 362,000 pada September kepada 1.18 juta penumpang pada Oktober lalu.
Peningkatan sebanyak 226 peratus itu berikutan pemansuhan sekatan perjalanan domestik yang turut menyumbang kepada pencapaian pergerakan trafik penumpang kumpulan yang merekodkan lebih sejuta buat pertama kali tahun ini.
Gabungan operasi MAHB di Malaysia dan Turki juga merekodkan sejumlah 4.1 juta pergerakan penumpang pada bulan lepas, meningkat 28 peratus berbanding September.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pergerakan penumpang dijangka meningkat pada bulan-bulan akan datang susulan pengumuman kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.
“Pada masa yang sama, gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi serta koridor perjalanan antara Malaysia dan Indonesia turut menjadi antara faktor yang mendorong pergerakan penumpang tersebut.
“Inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi kemudahan perjalanan antarabangsa sudah semestinya akan menyumbang kepada pemulihan industri penerbangan yang terjejas teruk kerana pelaksanaan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, MAHB juga optimis mengenai permintaan berterusan terhadap perjalanan sama ada bagi tujuan perniagaan atau riadah.
Bagi pihak penggiat industri, jelasnya, MAHB perlu memastikan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan secara ketat serta dipatuhi agar penumpang dapat menikmati perjalanan dengan lebih tenang tanpa sebarang kekurangan dalam tahap perkhidmatan yang diberikan.
Tambah beliau, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, laluan KLIA-Changi merupakan laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2018 dan 2019, dengan merekodkan lebih 30,000 penerbangan setahun. Permintaan sama akan terus kekal bagi laluan itu.
Selain itu, katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) juga secara konsisten mencatatkan aliran pergerakan penumpang yang menggalakkan, sekali gus menggambarkan pemulihan Turki yang ketara dalam sektor penerbangan.
Pada Oktober 2021, ISG merekodkan 2.7 juta penumbang bagi pergerakan penumpang antarabangsa, meningkat 13 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Kadar Vaksinasi Turki yang tinggi iaitu sebanyak 72.4 peratus membabitkan penduduk dewasa serta pelancaran vaksin Covid-19 yang dikenali sebagai Turkovac, turut meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk mengunjungi negara itu.
“Secara keseluruhannya, ISG kekal menjadi penyumbang utama sebanyak 66 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan MAHB.
“Bagi operasi kargo pula, MAHB telah mencatatkan sebanyak 869,445 tan metrik kargo sehingga Oktober lalu, peningkatan ketara sebanyak 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya. – UTUSAN