Penjual lemang cekal empat anak lumpuh sakit saraf - Utusan Malaysia

Penjual lemang cekal empat anak lumpuh sakit saraf

PENGUSAHA dan pemandu bot penambang bersiap sedia membawa pelawat domestik ke tempat perkelahan serta menyertai pelbagai aktiviti Sungai Tembeling dan anak Sungai Sat di pusat peranginan Kampung Kuala Sat, di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Hati ibu mana yang tidak sedih melihat empat daripada lapan anaknya yang sihat tiba-tiba bertukar lumpuh sekelip mata selepas diserang penyakit saraf.

Rosanani Salleh, 62, dari Kampung Teluk Kalong di sini berkata, tragedi yang menimpa anak sulungnya, Rozanariah Rozali, 43, di samping anak kedua, Mohd. Amerizam, 42; anak kelima, Mohd. Marsudi, 36, dan anak keenam, Mohd. Aismuddin, 33, itu menyebabkan kesemua mereka tidak mampu lagi bergerak serta menguruskan diri.

Menurut penjual lemang itu, tanggungjawabnya kini bertambah kerana terpaksa menguruskan tiga anak lelaki manakala Roznariah yang sudah berkahwin pula dijaga suami.

“Keempat-empat anak saya membesar secara normal dan selepas tamat tingkatan lima masing-masing mulai bekerja, tetapi menginjak ke usia 20-an ke atas, satu persatu diserang penyakit saraf dengan terbaharu membabitkan Mohd. Amerizam.

“Mereka tidak menunjukkan apa-apa simptom, ada yang tiba-tiba rebah dan terus lumpuh akibat sakit saraf itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Rosanani berkata, penyakit sama turut dialami Allahyarham suaminya, Razali Othman yang meninggal dunia 12 tahun lalu, justeru, dia bimbang dengan nasib anak-anaknya jika ditakdirkan dia pergi kelak.

“Setiap hari saya berdoa disembuhkan penyakit anak-anak saya sekurang-kurangnya, mereka dapat menguruskan diri. Penyakit Mohd. Amerizam tidak terlalu teruk kerana tangannya masih berfungsi baik, namun, dua anak lain memerlukan penjagaan rapi termasuk memakai lampin pakai buang, malah, mereka sukar tidur malam dan kerap merengek kerana kesakitan,” katanya.

Rosanani berkata, walaupun menerima bantuan bulanan RM200 seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan dan lampin pakai buang anaknya.

Sementara itu, Mohd. Amerizam berkata, keadaan diri yang lumpuh sejak 2015 menyebabkan dia tidak lagi mampu menjaga anak tunggalnya dan terpaksa diserahkan kepada keluarga Allahyarham isteri untuk dipelihara.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh ke akaun Bank Simpanan Nasional (Rosanani) di 1111 1298 4388 2434. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN