PUTRAJAYA: Penjawat awam di negara ini dinasihatkan supaya berfikir sedalam-dalamnya jika mahu membuat penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) yang sudah dikumpul mereka selaras Bajet 2022.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, kerajaan ada memberikan akses kepada sumber peruntukan ini, namun, ia bergantung kebijaksanaan penjawat awam untuk menguruskan kewangan dengan cara berhemah dan berjimat cermat
Beliau berkata, selaku penjawat awam yang bertanggungjawab, mereka perlu sentiasa memastikan rekod perkhidmatan diri sendiri diuruskan dengan teratur.
“Ini dapat mengurangkan masalah timbul pada masa akan datang berkaitan dengan urusan persaraan apabila maklumat peribadi dalam sistem telah pun direkodkan sempurna,” jelasnya ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dianjurkan Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA dengan tema khusus dipilih iaitu ‘GCR – Kira Betul-betul!’ yang turut disertai Pengarahnya, Mohd. Shaiful Ibrahim.
Ia susulan pengumuman insentif berkaitan GCR dalam Bajet 2022 yang naik kepada 160 hari berbanding maksimum 150 hari dan kemudahan penebusan sehingga 50 peratus atau 80 hari.
GCR mula diperkenalkan oleh JPA sejak 1974 dengan pengumpulan asalnya cuma 90 sehari setahun sebelum dinaikkan kepada 120 hari pada 2003 dan kemudian 150 hari mulai 2009 lalu.
Difahamkan, ramai penjawat awam gagal memanfaatkan peluang cuti rehat itu kerana tidak tahu atau terlupa, padahal ia boleh dimohon dalam tempoh 12 bulan sebelum tarikh persaraan.
Beliau turut mengingatkan ketua jabatan agar memainkan peranan penting menyemak Buku Kenyataan Perkhidmatan setiap petugas secara berkala dan tidak menganggap ia tugas remeh selaras Kempen Jom Semak yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara pada 25 Oktober lalu sejajar dengan Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan.
Kempen tersebut katanya, bertujuan mewujudkan sistem yang berkesan, cekap dan tuntas dalam menyokong usaha kerajaan bagi merealisasikan matlamat pembangunan ekonomi negara.
“Banyak faedah yang diperoleh hasil daripada pencen sektor awam ini mungkin kita anggap perkara biasa tetapi sebenarnya mencerminkan kerajaan prihatin terhadap nasib penjawat awam.
“Justeru, kita harus memberi komitmen penuh dalam melaksanakan amanah diberi dengan penuh integriti agar faedah persaraan yang disediakan itu dinikmati penuh barakah,” kata beliau.
Pada perhimpunan tersebut, Mohd. Khairul Adib turut melancarkan buku Panduan Layanan Perkhidmatan Pelanggan Sektor Awam dengan melibatkan kerjasama tiga jabatan berbeza, selain melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi JPA 2021-2025 bersempena sambutan Hari Integriti JPA dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. -UTUSAN ONLINE