Pengundi Melaka serik pilih pemimpin - Utusan Malaysia

Pengundi Melaka serik pilih pemimpin

Penduduk Pantai Padang Kemunting, Hairul Abu Kasim melakukan persiapan dengan mengangkat tungko sebelum menangkap ikan di Pengkalan Balak, Melaka, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Rakyat Melaka serik dalam memilih pemimpin kerana kelekaan membuat keputusan menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku sekali gus mencetuskan ketidaktentuan hala tuju pentadbiran kerajaan tidak kesudahan sehingga kini.

Hal ini kerana sejak 2018, krisis politik yang berlaku di Melaka dilihat tidak menemui titik noktah sehingga menyaksikan pertukaran dua kali kerajaan negeri dan akhirnya memberikan kesan kerugian kepada rakyat sendiri.

Rata-rata para pengundi ditemui Utusan Malaysia berharap mandat melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat memberikan nafas baharu agar nasib rakyat terus terbela dan kemelut politik berpanjangan selamat ini dapat ditamatkan segera.

Menurut pekerja swasta, Aizad Ainuddin, 30, dia amat berharap rakyat Melaka telah sedar kesilapan memilih pemimpin memberikan kerugian besar kepada negeri khususnya membabitkan aspek pembangunan dan perancangan dasar serta ekonomi.

Katanya, hanya rakyat dapat mencorakkan masa depan Melaka pada hari pengundian pada 20 November ini dengan memilih kerajaan yang stabil.

“Jika kita terus terpedaya dengan janji-janji palsu, akhirnya keadaan sama berulang sekali gus krisis politik ini tidak akan kesudahan pada bila-bila masa.

“Maka oleh itu, jangan tersilap langkah memilih pemimpin agar tidak kesilapan lama tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.

PRN Melaka terpaksa diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Perkara itu ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.

Sebelum ini Melaka sudah menyaksikan dua kali perubahan perubahan kerajaan sejak 2018 melibatkan Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, peniaga, Suriani Shafia, 38, bimbang jika Covid-19 dijadikan alasan para pengundi negeri ini untuk tidak keluar mengundi dan akhirnya memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi.

Katanya, perkara berkaitan sekali gus mempengaruhi pembentukan kerajaan apabila calon bertanding tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk menang dalam pilihan raya.

Beliau kemudian mengingatkan para pengundi untuk keluar mengundi pada minggu depan kerana situasi PRN Melaka amat berbeza dengan PRN Sabah ekoran pelaksanaan program vaksinasi.

“Setiap undi amatlah berharga, kita terus berdolak-dalik untuk tidak keluar mengundi, ia memberikan kesan bukan sahaja negeri tetapi diri kita sendiri apabila terus dibelenggu kancah politik tidak kesudahan.

“Jadi janganlah bimbang untuk keluar mengundi apatah lagi kali ini ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi membendung penularan Covid-19,” katanya.

Selain itu, pesara, Sulaiman Daud, 67, memberitahu pengundi Melaka kini serik kerana silap memilih pemimpin yang sibuk berpolitik sepanjang masa sehingga mencetuskan polemik politik tidak kesudahan.

Beliau kemudian mengajak rakyat negeri ini untuk keluar mengundi supaya dapat memilih calon dan parti yang stabil dan menjamin masa depan rakyat secara keseluruhan.

“Kita telah serik sejak 2018 kerana salah memilih pemimpin, jadi jangan tersalah langkah lagi dan akhirnya seperti berlaku pada hari ini. Pilih kita sebenarnya adalah kestabilan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN