Penduduk kampung taja ‘Pak Ali’ bertanding’ - Utusan Malaysia

Penduduk kampung taja ‘Pak Ali’ bertanding’

K. Murali atau Pak Ali bersama penyokongnya ketika ditemui di bilik gerakan yang dipanggil White House di Kampung Tebat, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, K. Murali atau lebih mesra ‘Pak Ali’ ibarat sudah diberi ‘mandat’ oleh rakyat sebelum sempat bertanding apabila pencalonannya bertitik tolak daripada sumbangan wang yang diberikan oleh penduduk kampung.

Menurut calon berketurunan India yang membesar di perkampungan Melayu di Kampung Tebat itu, wang berjumlah RM8,000 diterimanya dalam tempoh dua jam selepas memaklumkan mengenai keputusannya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, beliau yang sudah berusia 53 tahun pada awalnya tidak mahu terlibat dengan dunia politik, namun keputusan tersebut dibuat selepas ramai mendesaknya menyertai PRN atas dasar kepercayaan terhadap kemampuannya membela nasib rakyat.

“Apabila masyarakat Rembia mendengar mengenai PRN, ramai yang memujuk saya untuk menjadi calon agar lebih ramai penduduk dapat dibantu dan kebajikan masyarakat di DUN ini terbela.

“Saya membuat keputusan bertanding pada saat akhir iaitu lima hari sebelum hari penamaan calon selepas berjumpa ramai orang termasuk bapa angkat saya yang berbangsa Melayu manakala wang deposit calon pula dihulurkan oleh penduduk kawasan ini dalam tempoh dua jam sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Murali bakal berdepan pertembungan lima penjuru dengan penyandang kerusi yang juga calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhammad Jailani Khamis; calon Pakatan Harapan (PH), Zamri Pakiri; calon Perikatan Nasional (PN), Zamzuri dan seorang lagi calon Bebas, Sabarudin Kudus.

Tambahnya, kepercayaan tinggi itu diterimanya setelah penduduk menilai sendiri bakti yang ditabur selama lebih tiga tahun dalam aktiviti kemasyarakatan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pengguna dan Alam Sekitar Melaka (PPASM) yang ditubuhkan pada 2019.

“Melalui pertubuhan ini kami membantu pelbagai lapisan masyarakat termasuk menyelesaikan masalah sebuah keluarga yang hidup tanpa bekalan elektrik selama 23 tahun lamanya.

“Kita juga pernah membantu menyediakan kediaman lebih selesa buat keluarga yang tinggal di sebuah rumah kecil diibaratkan seperti reban dan paling sayu” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN