BENTONG: Pembangunan semula Kampung Baru Karak di sini yang musnah dalam kejadian kebakaran baru-baru ini perlu dikaji secara menyeluruh dan holistik khususnya dalam aspek keselamatan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, beberapa aspek keselamatan perlu dikaji termasuk jarak rumah sedia ada yang terlalu dekat, sistem longkang dan saliran, bekalan elektrik dan kegunaan air untuk bomba pada waktu kecemasan.
“Ini akan memberi sedikit sebanyak berita baik kepada semua mangsa kebakaran di sini untuk mempunyai keyakinan iaitu dapat bangkit daripda musibah ini, insya-Allah, projek ini siap dalam masa terdekat.
“Tadi, saya dengar sedikit rayuan terhadap kerajaan tentang peraturan-peraturan, saya yakin kerajaan negeri dapat pertimbangkan,” katanya selepas mencemar duli meninjau dan menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Baru Karak di sini hari ini.
Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim.
Al-Sultan Abdullah melahirkan penghargaan kepada barisan petugas termasuk pegawai daerah, bomba dan semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa kebakaran di situ.
Seri Paduka turut menasihatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan memakai pelitup muka serta mengambil suntikan vaksinasi Covid-19.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, satu pelan menyeluruh telah dirancang bagi membangunkan semula kesemua rumah yang musnah akibat kebakaran di Kampung Baru Karak tetapi masih terdapat kekangan dari segi peraturan dan syarat pembangunan ditetapkan.
“Memandangkan kawasan tanah Kampung Baru adalah terhad keluasannya ia tidak dapat memenuhi kesesmua syarat tetapi kita akan pastikan ia memenuhi syarat-syarat yang penting untuk keselamatan dan keselesaan penduduk,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE