MARAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan cadangan kepada kerajaan untuk menyewa rumah dengan pihak swasta di bandar utama bagi kemudahan pegawai rendah polis di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, cadangan itu sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah kuarters tidak mencukupi terutama di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur.
Menurutnya, jika mahu membina kuarters baharu, ia akan mengambil masa lama, jadi, menyewa rumah dari pihak swasta lebih sesuai buat masa ini.
‘Untuk permulaan, kita telah menghantar cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyewa sebanyak 220 unit rumah kepada pegawai rendah di Lembah Klang dan jika ada keperluan, mungkin boleh diperluaskan ke negeri lain yang mempunyai bandar besar pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman
Menurut Mazlan, di Kuala Lumpur, kos menyewa rumah begitu tinggi dan elaun perumahan yang diterima anggota hanya RM300 dan langkah itu penting sebagai kebajikan kepada anggota.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, lawatan kerja beliau ke Pahang lebih memfokuskan kebajikan warga PDRM termasuk pesara, balu dan anak yatim kepada bekas polis.
“Saya juga membuat lawatan ke projek perumahan pegawai rendah di IPD Maran yang sebelum ini terbengkalai, namun kini sudah hampir siap dan dijangka boleh didiami awal tahun depan.
“Projek perumahan 60 unit tersebut termasuk surau dan rumah Persatuan Keluarga Polis (Perkep) membabitkan kos asal RM11.9 juta dan kos baik pulih sebanyak RM1.8 juta,” katanya. -UTUSAN ONLINE