Masjid Kampung Laut siap 75 peratus - Utusan Malaysia

Masjid Kampung Laut siap 75 peratus

MASJID Kampung Laut dari Nilam Puri, Kota Bharu yang dipindahkan semula ke tapak asalnya di Kampung Laut, Tumpat kini siap 75 peratus. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pemasangan semula struktur masjid tertua di Asia Tenggara, Masjid Kampung Laut yang dipindahkan dari Nilam Puri, Kota Bharu ke tempat asalnya di Kampung Laut, di sini sudah mencapai 75 peratus.

Sebelum ini, masjid berusia 400 tahun tersebut dipindahkan ke Nilam Puri berikutan tapak asalnya kerap dilanda banjir seperti bah merah pada 1926 dan banjir besar lain terutama pada 1966 dan 1970.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk menghantarnya ‘pulang’ ke lokasi asal sebagai sebahagian daripada pembangunan Kampung Laut yang akan dijadikan sebagai Kampung Warisan.

Kerja-kerja pemindahan dari Nilam Puri ke Kampung Laut dengan jarak sejauh 22 kilometer itu dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan telah bermula sejak September tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, proses baik pulih dan pemasangan semula masjid itu dibuat dengan teliti dan berhati-hati bagi memastikan keaslian seni bina tidak terjejas.

“Setakat ini proses itu sudah mencapai 75 peratus dan sekiranya terus berjalan lancar tanpa sebarang kekangan, struktur Masjid Kampung Laut dijangka siap dipasang sepenuhnya menjelang Mac depan.

“Kerja-kerja pemasangan ini memang mengambil masa panjang kerana kita buat dengan teliti dan hati-hati, melibatkan 20 tenaga kerja yang diselia pakar binaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, sesuai dengan status Kampung Laut yang akan diangkat menjadi Kampung Warisan, Masjid Kampung Laut pula akan dicalonkan sebagai Objek dan Tapak Warisan Kebangsaan.

“Setelah mendapat pengiktirafan sebagai Objek dan Tapak Warisan Kebangsaaan, kita akan calonkan Masjid Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Selain usia yang sudah mencecah 400 tahun, keunikan Masjid Kampung Laut sehingga menjadi tarikan pelancongan utama di Kelantan terletak pada seni binanya yang dipasang tanpa menggunakan sebarang paku. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.